Petra tarik pelaburan besar tenaga hijau, wujud peluang kerja kemahiran tinggi

Petra tarik pelaburan besar tenaga hijau, wujud peluang kerja kemahiran tinggi

Antara pemacu utama ialah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dengan 10 inisiatif berpotensi tarik pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion jelang 2050.

Petra berkata projek pemangkin bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dijangka jana pelaburan lebih RM25 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dalam tempoh tiga tahun, kerajaan mencatat perkembangan positif dalam menarik pelaburan industri tenaga hijau dan bersih, selain mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi selari usaha menjadikan Malaysia peneraju serantau peralihan tenaga.

Antara pemacu utama adalah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan bawah pentadbiran Madani, dengan 10 inisiatif pemangkin dikenal pasti berpotensi menarik pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, projek pemangkin bawah NETR sahaja dijangka menjana pelaburan melebihi RM25 bilion sepanjang tempoh pelaksanaannya, khususnya dalam tenaga boleh baharu (TBB) dan teknologi rendah karbon.

Katanya, bagi menggalakkan penyertaan pelabur, kerajaan turut meneruskan dan memperkukuh insentif seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (Gita) serta Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (Gite), melibatkan penjanaan tenaga rendah karbon dan bekalan elektrik hijau.

“Pada masa sama, kerajaan menetapkan sekurang-kurangnya 51% pemilikan ekuiti tempatan bagi semua projek TBB, termasuk Program Solar Berskala Besar (LSS) dan Program Tarif Galakan (FiT), bagi memastikan manfaat pelaburan memberi impak langsung kepada ekonomi domestik serta menyokong pemindahan teknologi,” katanya dalam kenyataan.

Petra berkata, dari segi peluang pekerjaan, sektor TBB dan teknologi hijau dijangka mewujudkan kira-kira 310,000 peluang menjelang 2050, dengan sebahagian besar melibatkan kemahiran teknikal dan profesional tinggi.

Katanya, kerajaan turut menekankan pemerkasaan modal insan melalui pengukuhan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), khususnya dalam bidang automasi, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan kejuruteraan pintar, bagi memenuhi keperluan industri yang berkembang pesat.

“Peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dijangka tertumpu dalam sektor kecekapan tenaga, tenaga solar, hidrogen hijau serta pembangunan grid pintar yang memanfaatkan teknologi digital dan AI,” katanya.

Menurut Petra, secara keseluruhan, perkembangan itu mencerminkan usaha kerajaan membina asas kukuh ke arah pembangunan industri tenaga bersih yang mampan, sambil memacu penciptaan pekerjaan bernilai tinggi untuk tenaga kerja tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.