3 nasihat Rafizi untuk menteri ekonomi

3 nasihat Rafizi untuk menteri ekonomi

Rafizi Ramli nasihatkan Akmal Nasir bahawa jawatan adalah sementara, bekerja sehabis baik, dan tidak endahkan pujian atau kritikan.

Menteri Ekonomi yang baharu Akmal Nasir (kanan) adalah bekas pegawai Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, dan yang pernah bekerja dengan beliau sejak 2009.
PETALING JAYA:
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli memberikan tiga peringatan kepada penggantinya, Akmal Nasir, yang kini mengambil alih portfolio berkenaan.

Rafizi mengingatkan bekas pegawainya itu bahawa jawatan dan pangkat adalah bersifat sementara, dan kalau ambil sesuatu kerja, buatlah sehabis baik.

Beliau juga menasihatkan Akmal bahawa pujian dan makian orang tidak membantu di akhirat, hanya kerja yang ikhlas dan baik yang boleh jadi pahala.

“Sebab jawatan menteri dan timbalan menteri itu adalah satu jerat. kalau kita culas, tidak amanah, kita yang dijerat.

“Kalau kita rajin, ikhlas, kerja kita ada kesan, maka ia menjadi jerat yang baik untuk mendapat pahala,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Rafizi turut menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Johor Bahru itu untuk mengisi jawatan menteri yang pernah disandangnya, dengan menyifatkan pemimpin PKR tersebut sebagai seorang yang gigih dan rajin, ketika bekerja bersamanya sejak 2009.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh atas pelantikannya sebagai timbalan menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar.

Akmal dan Syed Ibrahim berada dalam kem Rafizi semasa pemilihan PKR pada Mei lalu, yang menyaksikan Ahli Parlimen Pandan itu tewas jawatan timbalan presiden parti kepada Nurul Izzah Anwar.

Akmal tewas jawatan ketua PKR Johor Bahru dalam pemilihan peringkat cabang tetapi dipilih ke Majlis Pimpinan Pusat PKR bersama Syed Ibrahim.

Rafizi tidak mengulas lanjut mengenai pelantikan Syed Ibrahim, sebaliknya berkata beliau akan berbuat demikian dalam podcast ‘Yang Berhenti Menteri’ pada pukul 9 malam esok.

Penganalisis melihat pelantikan Akmal dan Syed Ibrahim sebagai usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengurus keseimbangan kumpulan dalam PKR, khususnya selepas Rafizi meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi susulan kekalahannya dalam pemilihan parti.

Pemerhati politik berkata Anwar sengaja memastikan tiada mana-mana kumpulan dalam parti diketepikan dengan terus memberi ‘ruang’ kepada mereka yang selari dengan Rafizi dalam Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.