Tangani sentimen rombakan Kabinet secara bijak, kata pemimpin Umno

Tangani sentimen rombakan Kabinet secara bijak, kata pemimpin Umno

Asyraf Wajdi Dusuki berkata antara kebimbangan yang disuarakan termasuk nasib Bumiputera di bandar susulan pelantikan dua pemimpin berbangsa Cina bagi portfolio Wilayah Persekutuan.

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan pelbagai sentimen di media sosial tidak boleh dipandang enteng. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu bijak menangani sentimen terhadap rombakan Kabinet, antaranya kebimbangan mengenai nasib Bumiputera di bandar besar susulan pelantikan dua pemimpin berbangsa Cina bagi portfolio Wilayah Persekutuan, kata seorang pemimpin Umno.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata pelantikan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dari DAP sebagai menteri dan wakil rakyat Tawau, Lo Su Fui dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), telah menimbulkan kebimbangan tersebut, selain berkait dengan permulaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sebagai rekod, dua tahun lalu, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai, menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

Menurut Asyraf, sentimen warganet di media sosial juga membangkitkan dakwaan terhadap timbalan menteri hal ehwal agama yang baharu, Marhamah Rosli, termasuk isu berkaitan Zara Qairina Mahathir, skim emas RM14 juta serta pandangan mengenai amalan doa dan ibadah.

Selain itu, Asyraf berkata pelantikan Adam Adli sebagai timbalan menteri pengajian tinggi turut dipersoalkan, memandangkan Ketua Komunikasi PKR itu sebelum ini lantang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Ini hanyalah sebahagian daripada sentimen kuat yang berlegar di ruangan media sosial sejak pengumuman semalam.

“Sentimen sebegini tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara bijaksana,” katanya di Facebook, mengulas rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang kedua dalam pentadbirannya.

Asyraf turut berkongsi fakta berkaitan komposisi ahli Kabinet dari segi kaum dan parti gabungan.

Menurut beliau, dari sudut kaum, seramai 17 menteri Melayu dilantik, diikuti lima Cina, dua India, lima Bumiputera Sarawak, dan tiga Bumiputera Sabah.

Barisan timbalan menteri pula terdiri daripada 10 Melayu, lima Cina, dua India, tujuh Bumiputera Sarawak, dan enam Bumiputera Sabah.

Dari segi parti pula, Kabinet dianggotai sembilan menteri PKR, lima DAP, dua Amanah, lapan BN, lima Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan seorang daripada GRS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.