Jangan lupa perjuangan reformasi aktivis pelajar, Adam Adli diberitahu

Jangan lupa perjuangan reformasi aktivis pelajar, Adam Adli diberitahu

Presiden Umany Tang Yi Ze pelantikan Adam sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi harus jadi pemangkin reformasi sebenar sektor itu.

Adam Adli
Pada 2011, dikenakan tindakan di bawah Auku kerana menurunkan bendera memaparkan wajah bekas perdana menteri Najib Razak dan menggantikannya dengan bendera slogan menuntut kebebasan akademik.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pelajar menggesa Adam Adli supaya tidak meninggalkan agenda reformasi yang diperjuangkannya sebagai aktivis pelajar, susulan pelantikannya sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi.

Presiden Persatuan Mahasiswa Baharu Universiti Malaya (Umany), Tang Yi Ze, berkata pelantikan Adam sepatutnya menjadi pemangkin kepada reformasi sebenar dalam sektor pendidikan tinggi dan tidak melupakan tuntutan yang pernah diperjuangkannya.

Beliau berkata sepanjang penglibatan sebagai aktivis mahasiswa, Adam secara terbuka menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 dan memperjuangkan sistem pendidikan tinggi yang lebih demokratik.

Tang turut mengingatkan bahawa Adam sendiri pernah menjadi mangsa di bawah penindasan akta tersebut, sambil berkata beliau seharusnya lebih memahami kesan drakonian undang-undang berkenaan.

“Dalam jawatannya ketika ini, Adam perlu mengambil langkah tegas untuk memansuhkan Auku,” katanya.

Adam yang sebelum ini timbalan menteri belia dan sukan dipindahkan ke Kementerian Pendidikan Tinggi dalam rombakan Jemaah Menteri yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.

Pada 2011, Adam dikenakan tindakan di bawah Auku kerana menurunkan bendera memaparkan wajah bekas perdana menteri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra dan menggantikannya dengan bendera slogan menuntut kebebasan akademik.

Dalam kenyataannya, Tang juga menggesa pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan serta pengenalan pendidikan tinggi percuma.

Katanya, pendidikan merupakan hak asasi setiap individu dan universiti tidak seharusnya menjadi kemewahan yang hanya mampu diakses oleh segelintir golongan.

“Pendidikan tinggi semakin menjadi keperluan asas bagi majoriti generasi muda.

“Pelaksanaan pendidikan tinggi percuma merupakan reformasi utama untuk menjamin keadilan pendidikan, memperluas mobiliti sosial dan memastikan pembangunan negara dalam jangka panjang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.