
Menyifatkan pelantikan timbalan menteri itu mencerminkan realiti PKR, Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia berkata parti itu tidak mempunyai kekuatan menyeluruh di Melaka.
“Negeri itu masih dianggap kubu kuat Umno. Jadi perubahan ini tidak memberi kesan signifikan,” kata pengarah Pusat Penyelidikan Dasar ini kepada FMT, mengingatkan bahawa pelantikan itu lagipun bersifat sementara.
“Kalau ada lagi pemilihan dan sebagainya mungkin keadaan yang berbeza akan berlaku,” tambahnya.
Berlatarkan peletakan jawatan Shamsul Iskandar Akin selepas mendakwa ada percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan, biro politik melantik Adam memangku tugas ketua PKR Melaka berkuat kuasa 15 Dis.
Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata Adam, yang juga timbalan ketua PKR Melaka, akan menjalankan tanggungjawab itu sehingga dimaklumkan kelak.
Pada pemilihan parti April lalu, Adam tewas dalam pemilihan di peringkat PKR Hang Tuah Jaya — bahagian yang diketuai Shamsul — kepada calon pro-Shamsul bagi jawatan timbalan ketua.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata kekalahan Adam di peringkat bahagian tidak wajar dijadikan ukuran mutlak, kerana persaingan di peringkat akar umbi sering berbeza dengan pemilihan bagi peringkat pusat.
“Dia kalah peringkat akar umbi tu tak ada masalah pun. Ada yang menang cabang, kalah di pusat,” kata pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan ini, yang menambah Adam dipercayai pucuk kepemimpinan parti.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Adam sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi dalam rombakan Jemaah Menteri terbaru.
Mazlan percaya keberkesanan kepimpinan Adam Adli akan menjadi faktor utama dalam menentukan hala tuju PKR Melaka, selepas parti berdepan perubahan kepimpinan dan dalam persediaan menghadapi PRN.
“Adam kena jumpa akar umbi dapatkan sokongan. Dia kena rapat dengan mereka, kalau tak susah nanti,” katanya.
Susulan PRN pada 2023, DUN Melaka menyaksikan BN menduduki 20 kerusi (Umno 17, MCA dua, MIC satu) manakala Pakatan Harapan lima kerusi (DAP empat dan Amanah satu).