
Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail mendapati Zulkifly Abd Za’par bersalah atas 19 pertuduhan bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dia didakwa meminta RM2,000 sebulan dan menerima RM50,000 wang rasuah daripada kedua-dua pembekal itu, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asing tanpa izin.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap 19 pertuduhan itu tetapi memerintahkan hukuman berjalan serentak.
Zulkifly, yang sebelum ini bertugas di bahagian anti-pemerdagangan dan anti-pengubahan wang haram, melakukan kesalahan tersebut di Johor Bahru antara 2019 dan 2020.
Mahkamah menyatakan Zulkifly gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.
Kamal berkata, semasa perbicaraan, Zulkifly mendakwa wang yang diterima daripada pembekal adalah ‘yuran perunding’ untuk kerja yang dilakukan bagi pihak mereka.
Zulkifly juga mendakwa seorang pegawai SPRM, Rasyidi Said, ‘menganiaya’ beliau dalam siasatan tersebut. Rasyidi sendiri didakwa di mahkamah lain atas kes rasuah yang tidak berkaitan.
Mahkamah menyatakan pembelaan Zulkifly penafian semata-mata dan tidak disokong bukti. “Dia hanya cuba alih perhatian daripada bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan,” tambah Kamal.
Menurut fakta kes, Zulkifly bertemu dua pembekal itu pada 2018, di mana mereka bertanya kepadanya tentang proses yang terlibat untuk memohon permit kerja.
Zulkifly memaklumkan bahawa mereka tidak boleh memohon lagi kerana tempoh permohonan telah tamat. Dia kemudian bertanya kepada mereka ‘berapa’ yang mereka sanggup berikan.
Sebagai respons, kedua-dua pembekal mengangkat jari telunjuk, menandakan RM1,000 sebulan. Mereka kemudian bergilir-gilir membuat bayaran kepada Zulkifly sehingga 2020, apabila ketiga-tiga lelaki itu ditahan oleh SPRM.