Belanjawan Sabah 2026 bukti komitmen urus kewangan secara berhemah

Belanjawan Sabah 2026 bukti komitmen urus kewangan secara berhemah

Pemimpin akar umbi kata pentadbiran Hajiji Noor menampilkan belanjawan yang realistik dan berfokus.

Arial view of city - Kota Kinabalu, Sabah
Pentadbiran Hajiji Noor bentang Belanjawan Sabah 2026 semalam, bertemakan ‘Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan’.
PETALING JAYA:
Belanjawan Sabah yang merekodkan lebihan RM28 juta bukti komitmen pentadbiran Hajiji Noor untuk mengurus kewangan secara berhemah, berdisiplin, dan mampan, di samping mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Pemimpin akar umbi Parti Gagasan Rakyat Sabah, Mazlan @ Joehari Manan, berkata kerajaan Sabah menampilkan belanjawan yang realistik dan berfokus bagi tahun mendatang, melibatkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM6.402 bilion berbanding anggaran hasil RM6.430 bilion.

“Saya berharap setiap peruntukan dan inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan serta dipantau rapi agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Sabah di seluruh pelusuk negeri,” kata ketua Bahagian Lumadan itu.

Mazlan @ Joehari Manan.

Mengupas belanjawan itu, Mazlan berkata kerajaan negeri beri perhatian utama pada menyelesaikan isu jalan rosak, meningkatkan akses kawasan luar bandar, dan memperkukuh kestabilan bekalan air bersih, apabila memperuntukkan RM1.122 bilion kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti bagi perbelanjaan perbekalan, dan RM534.28 juta bagi pembangunan.

Mazlan berkata Belanjawan 2026 menonjolkan komitmen pentadbiran Hajiji melaksanakan Model Menoktahkan Kemiskinan Tegar Negeri Sabah, yang memberi tumpuan kepada lima intervensi utama iaitu kewangan dan kebajikan, perumahan, pendidikan, pekerjaan, serta keusahawanan dan latihan.

Beliau menarik perhatian kepada inisiatif bantuan RM300 sebulan bagi golongan miskin dan miskin tegar, yang diteruskan kerajaan Sabah pada tahun depan melalui program Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur), sebagai “instrumen penting kebajikan rakyat serta pengimbangan kos sara hidup”.

“Pelbagai skim bantuan kebajikan lain turut diteruskan bagi golongan berpendapatan rendah, warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan kanak-kanak, sekali gus memperkukuh perlindungan sosial secara bersasar,” katanya.

Inisiatif membantu golongan miskin memiliki rumah diteruskan menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, yang menyaksikan penambahan kuota daripada 40 unit kepada 50 unit bagi setiap DUN, melibatkan 10 unit rumah khusus untuk golongan muda berumur 40 tahun ke bawah yang telah berkeluarga.

“Kerajaan negeri juga akan melaksanakan kajian pemberian Bantuan Subsidi Bayaran Deposit Rumah Pertama kepada golongan muda yang daif, sebagai langkah membantu rakyat memiliki kediaman sendiri secara lebih inklusif dan mampan,” katanya.

Mazlan turut menyambut baik langkah pentadbiran Hajiji meneruskan 13 bantuan pendidikan sedia ada, serta pengenalan Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU), untuk pelajar dan siswa pada 2026; selain peruntukan bagi pembinaan dan penambahbaikan prasarana sukan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri menyahut peningkatan pelaburan asing dan domestik di Sabah pada tahun ini, iaitu RM11.368 bilion berbanding RM6.458 bilion pada tahun sebelumnya, dengan penumpuan pada penciptaan ekosistem pelaburan yang kondusif.

Katanya, penciptaan ekosistem melalui pembangunan prasarana asas, peningkatan kemudahan utiliti, serta pengukuhan keyakinan pelabur itu bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada rakyat.

“Seiring dengan keupayaan fiskal yang stabil, pemberian bonus sebulan gaji kepada penjawat awam negeri untuk dua tahun berturut-turut merupakan satu pencapaian yang amat signifikan,” katanya.

“Ia bukan sahaja menjadi penghargaan kepada dedikasi dan komitmen penjawat awam, malah mencerminkan keupayaan kerajaan negeri mengekalkan kestabilan fiskal serta mengurus hasil negeri secara cekap, berdisiplin dan bertanggungjawab.”

Pentadbiran Hajiji membentangkan Belanjawan 2026 semalam, bertemakan ‘Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.