Azam Baki beri bayangan tinggalkan SPRM

Azam Baki beri bayangan tinggalkan SPRM

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata kontraknya sudah dilanjutkan sebanyak tiga kali hingga ada pihak yang tidak berpuas hati.

AZAM BAKI
Tempoh kontrak perkhidmatan Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tamat pada tahun depan.
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki memberi bayangan bahawa beliau mungkin tidak akan bersama agensi itu lagi selepas tempoh kontraknya tamat tahun depan.

Azam berkata kontrak perkhidmatannya sudah dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum ini hingga menyebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati.

“Insya Allah, tahun depan tempoh perkhidmatan saya akan tamat, ia telah disambung tiga kali sebelum ini.

“Orang pun sudah tidak suka saya, Rafizi (Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli) pun tidak suka saya, dia kata jangan sambung Azam Baki,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata pada program SPRM -UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam .

Azam berkata apa yang penting penggantinya nanti perlu meneruskan agenda meningkatkan integriti, mempromosikan tadbir urus baik dan menguatkuasakan undang-undang anti rasuah tanpa gentar atau pilih kasih.

Media melaporkan bahawa Rafizi mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap komitmen memerangi rasuah susulan kekalahan dalam PRN Sabah ke-17.

Rafizi berkata langkah itu boleh dimulakan dengan tidak menyambung kontrak Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang dilantik ke jawatan itu sejak Mac 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.