2 beranak rentung dalam kebakaran di Butterworth

2 beranak rentung dalam kebakaran di Butterworth

Seorang lagi anak mangsa, lelaki berusia 20an mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

Menurut bomba, kedua-dua mangsa ditemukan di ruang tamu berhampiran pintu utama manakala seorang lagi cedera akibat dihempap bumbung. (Gambar Facebook)
BUTTERWORTH:
Dua maut manakala seorang lagi cedera dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Rathna, Telok Air Tawar di sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.41 pagi dan 20 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth dibantu Balai Perda serta Penanti digerak ke lokasi kejadian.

Beliau berkata mangsa yang maut merupakan seorang ibu berusia 50-an dan anak angkat perempuannya berusia empat hingga lima tahun, manakala anak lelaki berusia 20-an mengalami kecederaan.

“Kedua-dua mangsa ditemukan di ruang tamu berhampiran pintu utama manakala mangsa lelaki ditemukan di kawasan pintu dapur dalam keadaan cedera selepas dihempap bumbung.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A berkeluasan 40×70 kaki persegi dengan anggaran kemusanahan 85%,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Shoki berkata mangsa yang cedera dikeluarkan pada 10.21 pagi dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya, manakala mayat dua lagi mangsa dijumpai pada 10.59 pagi dengan kebakaran dapat dipadamkan pada 11.21 pagi.

Beliau berkata ketika ini kerja-kerja overhaul sedang dijalankan dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.