Patuhi etika pakaian ketika buat laporan, kata ketua polis Melaka

Patuhi etika pakaian ketika buat laporan, kata ketua polis Melaka

Dzulkhairi Mukhtar berkata pengecualian etika pakaian dibenarkan bagi kecemasan atau kes memerlukan tindakan pantas polis.

Dzulkhairi Mukhtar
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata etika pakaian sebahagian daripada garis panduan lebih luas kerajaan bagi meningkatkan perkhidmatan pelanggan di kaunter sektor awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis di Melaka mengingatkan orang ramai mematuhi garis panduan etika pakaian rasmi ketika ke kaunter membuat aduan.

Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, berkata garis panduan itu diperincikan dalam satu pekeliling dikeluarkan ketua setiausaha negara bagi meningkatkan hubungan pelanggan di semua agensi sektor awam.

“Namun, polis memberi kelonggaran bagi kes melibatkan kecemasan serta memerlukan tindakan pantas polis,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataannya menyusul laporan seorang wanita dilarang memasuki sebuah IIPD di Melaka semalam kerana pakaiannya dianggap tidak sesuai untuk premis kerajaan.

Beliau berkata, insiden itu berlaku kira-kira 5 petang apabila dua wanita tiba untuk membuat laporan berhubung kemalangan jalan raya.

“Pegawai bertugas di pintu depan meminta mereka pulang menukar pakaian bersesuaian memandangkan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan mendapati pada 5.40 petang, wanita itu datang semula ke balai polis bersama ibunya dengan berpakaian lebih sopan dan dibenarkan masuk membuat laporan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.