Jangan samakan Petros dengan Sarawak Cable, kata Adun GPS

Jangan samakan Petros dengan Sarawak Cable, kata Adun GPS

Fazzrudin Abdul Rahman berkata perbandingan dua syarikat itu dibuat dengan terlalu mudah dan tidak ambil kira keupayaan profesional kerajaan Sarawak.

Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata pemantauan dan akauntabiliti yang ketat adalah penting bagi mana-mana entiti milik kerajaan negeri, termasuk Petros. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Adun Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengkritik satu artikel dalam talian yang membandingkan hala tuju syarikat milik kerajaan negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros), dengan syarikat bermasalah Sarawak Cable Bhd.

Adun Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman, berkata perbandingan itu dibuat dengan terlalu mudah dan tidak mengambil kira keupayaan profesional kerajaan Sarawak, lapor Borneo Post.

Fazzrudin, yang juga setiausaha politik kanan kepada Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata artikel tersebut seolah-olah menggambarkan semua rakyat Sarawak sebagai tidak kompeten, sedangkan ia jauh dari keadaan sebenarnya.

“Dakwaan bahawa pengalaman Sarawak Cable adalah satu analogi kepada kegagalan Petros adalah tidak tepat. Sarawak Cable beroperasi dalam sektor yang sama sekali berbeza – kabel, pembuatan dan infrastruktur – manakala Petros terlibat dalam industri minyak dan gas.

“Dari segi skala dan sumbangan, Petros telah membuktikan bahawa Sarawak mampu mengurus sumbernya secara profesional,” katanya, sambil menambah bahawa Petros merupakan pengeluar minyak dan gas ketiga terbesar di Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa pemantauan dan akauntabiliti yang ketat adalah penting bagi mana-mana entiti milik kerajaan negeri, termasuk Petros.

Katanya, adalah penting untuk Petros memberi perhatian terhadap prestasi kewangannya, penciptaan pekerjaan serta kelestarian alam sekitar.

Fazzrudin mengulas artikel oleh Suara.TV yang menyatakan Petros dan syarikat penerbangan milik kerajaan negeri, AirBorneo, mungkin berdepan risiko yang sama seperti Sarawak Cable sekiranya kerjasama strategik mereka tidak dipertimbangkan dengan teliti.

Penulis artikel tersebut turut merujuk satu artikel FMT mengenai Sarawak Cable, yang sebelum ini dilihat sebagai bintang meningkat naik dalam landskap korporat Sarawak tetapi akhirnya dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada Julai lalu susulan beban hutang yang meningkat dan isu kecairan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.