Kekang ‘ulat mahkamah’, anggota polis digilir

Kekang ‘ulat mahkamah’, anggota polis digilir

Penggiliran tugas itu akan dilaksanakan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

kl high court
FMT pada September melaporkan ada sesetengah firma guna khidmat ‘runner’ atau ejen untuk mencari pelanggan berpotensi di hospital, kompleks mahkamah, balai polis, dan pejabat awam lain.
PETALING JAYA:
Anggota polis yang ditempatkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur akan dibuat secara penggiliran bagi menangani aktiviti ‘ulat mahkamah’ atau ‘touting’, didakwa melibatkan peguam dan individu.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam surat edaran memaklumkan, langkah itu diputuskan dalam perbincangan bersama polis Cawangan Mahkamah Kuala Lumpur pada 8 Okt lalu, bagi penempatan anggota polis pada setiap mahkamah di kompleks mahkamah tersebut.

“Tindakan ‘job rotation’ (pusingan kerja) ini akan dijalankan selang beberapa bulan bagi memastikan risiko salah guna kuasa dapat diatasi,” kata surat berkenaan menurut Bernama.

Langkah itu diambil susulan aduan diterima pada 22 Sept lalu, mendakwa wujud aktiviti touting melibatkan peguam serta individu di kompleks mahkamah berkenaan.

Dalam pada itu, tindakan mengehad dan mengetatkan kawalan serta akses orang awam di kawasan lokap mahkamah juga akan diambil, yang mana hanya peguam dan pihak Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili orang kena tuduh (OKT) sahaja akan dibenarkan untuk berjumpa OKT di luar lokap tertakluk kesesuaian keadaan semasa.

Tindakan pengawasan dan pemantauan juga akan dilakukan dari semasa ke semasa oleh pihak penyelia Mahkamah Kuala Lumpur untuk memastikan tiada petugas mahkamah yang terlibat dalam kegiatan seumpama itu.

“Sekiranya mana-mana pihak mempunyai aduan spesifik terhadap mana-mana petugas mahkamah, mohon perkara tersebut dikemukakan kepada pihak Mahkamah Kuala Lumpur untuk tindakan sewajarnya.

“Unit ini merakamkan jutaan terima kasih kerana membawa isu ini kepada perhatian pihak kami. Kami mengambil berat isu-isu yang dibangkitkan dalam surat tersebut dan tindakan sewajarnya akan diambil dari semasa ke semasa bagi menangani masalah ini,” menurut surat itu.

Pada 27 Sept lalu, FMT memetik seorang peguam kanan, sebagai berkata kegiatan ‘ulat mahkamah’ masih berleluasa dalam industri guaman di Malaysia walaupun ia satu kesalahan jenayah, dengan beberapa firma didakwa meraih keuntungan besar hasil aktiviti itu.

Peguam enggan dikenali itu, berkata firma guaman sering menjauhkan diri daripada terlibat secara langsung dengan menggunakan ‘runner’ atau ejen untuk mencari pelanggan berpotensi di hospital, kompleks mahkamah, balai polis, dan pejabat awam lain.

“Sebahagian ejen ini mempunyai kaitan dengan orang dalam di jabatan dan agensi kerajaan yang memberikan maklumat awal mengenai kes berpotensi,” kata peguam itu kepada FMT.

“Bagi sesetengah firma, perkara ini sudah menjadi sumber pendapatan utama mereka.”

Peguam itu berkata demikian selepas Majlis Peguam mengeluarkan pekeliling amaran terhadap amalan ‘ulat mahkamah’, yang digambarkan sebagai perbuatan tidak beretika, mencemarkan reputasi profesion guaman serta menghakis keyakinan terhadap pentadbiran keadilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.