
Beliau berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan skim dengan peruntukan awal RM20 juta yang telah bermula sejak 1 Okt lalu sehingga 30 Sept 2026.
“Bagi SIKR 3.0, kadar pampasan ditingkatkan kepada RM13,500 untuk kematian semula jadi, RM26,500 bagi kematian akibat kemalangan serta RM13,500 bagi kecacatan kekal akibat kemalangan,” katanya menurut Bernama pada majlis penutup program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku.
Beliau berkata, bagi pelaksanaan SIKR 3.0, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri akan memeterai memorandum persefahaman dengan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN).
SIKR merupakan pelan takaful berkelompok eksklusif patuh syariah percuma yang ditaja oleh kerajaan bagi melindungi 300,000 ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih di bawah bidang kuasa ICU JPM.
SIKR siri pertama dilancarkan pada 2022, dengan sumbangan premium oleh kerajaan berjumlah RM13.4 juta bagi melindungi seramai 268,887 KIR eKasih.
Kadar pampasan di bawah SIKR 2.0 ditingkatkan kepada RM10,500 bagi kematian normal, RM25,500 bagi kemalangan serta RM10,500 bagi kecacatan kekal akibat kemalangan.
Sementara itu, Anwar berkata Sahabat Penggerak Madani dilancarkan sebagai satu inisiatif sukarelawan nasional berperanan memperluas jangkauan agenda Malaysia Madani serta memperkukuh komunikasi dasar kerajaan di peringkat akar umbi.
“Setakat Disember 2025, kita sudah mengumpul 3,000 sukarelawan yang menjadi Sahabat Penggerak Madani. Tanggungjawab mereka adalah menyampaikan naratif kenegaraan, menjadi penceramah, fasilitator dan jurulatih,” katanya.
Bagi menghargai sumbangan mereka, Anwar berkata sukarelawan terbabit akan menerima kad pengenalan rasmi, akses latihan daripada Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) serta pelbagai manfaat melalui rakan strategik seperti Mydin dan Hotel Seri Malaysia.
Selain itu, perdana menteri berkata sukarelawan berkenaan juga akan diberikan sijil penglibatan rasmi sebagai pengiktirafan status sukarelawan negara.