
Empat jawatan dalam Jemaah Menteri kini kosong susulan peletakan jawatan dan tamat tempoh perkhidmatan.
Semalam, Anwar mengesahkan beliau akan berunding dengan ketua parti dalam kerajaan sebelum mengumumkan rombakan kecil dalam masa terdekat.
Loke yang juga menteri pengangkutan berkata, walaupun penyusunan semula Jemaah Menteri prerogatif perdana menteri, perbincangan biasanya akan diadakan dengan semua ketua parti.
“Bila dalam perbincangan itu, maka setiap parti sudah tentu akan memberikan pandangan masing-masing dan saya sendiri akan bagi pandangan secara bersemuka dengan beliau,” katanya menurut Sinar Harian selepas majlis pecah tanah pembangunan berorientasikan transit Seremban Sentral di Seremban.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, Anwar belum memberi sebarang petanda bila rombakan Jemaah Menteri akan diumumkan.
Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi menteri DAP, Loke berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu dengan Anwar apabila mereka bertemu.
Empat kekosongan dalam Jemaah Menteri ialah menteri ekonomi; menteri sumber asli dan kelestarian alam; menteri pembangunan usahawan dan koperasi serta menteri pelaburan, perdagangan dan industri.
Rabu lalu, Pejabat Perdana Menteri mengesahkan rombakan Jemaah Menteri akan diadakan, dengan Anwar dijangka mengumumkan barisan baharu tidak lama lagi.
Anwar dilaporkan berkata, tidak perlu rombakan besar-besaran kerana kerajaan semasa hanya berbaki tempoh pentadbiran kira-kira setahun setengah.
Terdahulu, penganalisis politik dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan dilaporkan berkata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilihat paling berisiko digantikan kerana banyak desakan untuk beliau letak jawatan susulan beberapa insiden di sekolah membabitkan kes bunuh, rogol dan buli.
Azmi turut mencadangkan beberapa menteri mungkin berprestasi lebih baik dalam portfolio berbeza, dengan Zambry Abdul Kadir lebih sesuai di Kementerian Luar Negeri dan Mohamad Hasan boleh dipindahkan ke portfolio lain.