
Seorang lagi penduduk, Mahadil Ali, 55, berkata insiden berkenaan merupakan kejadian tanah runtuh pertama sejak penempatan itu dibuka pada 1991.
Beliau mendakwa air dan sisa binaan daripada (ECRL) yang terletak kira-kira 200 meter di atas bukit, yang disalurkan ke laluan air di kampung berkenaan, menjadi antara faktor mempengaruhi struktur tanah kawasan itu.
Insiden tanah runtuh itu telah menyebabkan lapan keluarga hilang tempat tinggal, yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Serbaguna Orang Asli Batu 12.
“Jika ada cadangan untuk kami berpindah, saya akan bersetuju kerana kawasan tanah di rumah saya sudah tidak selamat diduduki,” katanya menurut Bernama.
Halimah Yunos, 71, antara 47 penduduk terjejas, berkata insiden kira-kira 7 malam itu berlaku selepas hujan lebat berterusan menyebabkan berlakunya pergerakan tanah di laluan air yang merentasi kampung.
Katanya, pergerakan tanah sudah dikesan sejak 25 Nov, namun kejadian pada Rabu itu menyebabkan rumahnya tidak lagi selamat diduduki.
Wakil dari Pejabat Ahli Parlimen Gombak Hazmimi Johar, berkata semua mangsa akan terus ditempatkan di PPS itu sehingga kawasan penempatan baharu yang lebih sesuai dan selamat dikenal pasti, manakala bantuan makanan dan keperluan asas akan diteruskan.
Menurut Hazmimi, secara keseluruhan, terdapat 290 rumah dengan anggaran 1,400 penduduk Orang Asli mendiami kampung itu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.10 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba Selayang digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati runtuhan tebing setinggi kira-kira 7.6m melibatkan kawasan seluas 100 kaki persegi, mengakibatkan lapan rumah terjejas, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.