Shamsul beri amaran ambil tindakan terhadap komen melampau

Shamsul beri amaran ambil tindakan terhadap komen melampau

Peguamnya berkata kes baru bermula dan orang ramai tidak sewajarnya membuat spekulasi.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Shamsul Iskandar Akin mengulangi akan memberi kerjasama penuh dan menghormati segala proses undang-undang dihadapinya.
KUALA LUMPUR:
Bekas setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Akin memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat komen melampaui batas termasuk di media sosial berhubung kes rasuah dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Yusmadi Yusoff, yang menegaskan kes itu baru bermula dan orang ramai tidak sewajarnya membuat spekulasi, sebaliknya menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan.

“Tak perlu kita berspekulasi kerana saya lihat banyak juga komen agak melampaui batas dan saya tidak teragak-agak untuk melihat mana-mana komen yang melampaui daripada apa yang sepatutnya.

“Shamsul memberi kerjasama penuh dan beliau mahu membuktikan dirinya tidak bersalah melalui proses undang-undang sewajarnya,” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Sementara itu, Shamsul mengulangi akan memberi kerjasama penuh dan menghormati segala proses undang-undang dihadapinya.

“Sejak dari awal, seperti rakan-rakan media tahu, saya mengambil sikap proaktif dan memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terutama untuk menyelesaikan siasatan dan insya-Allah membersihkan nama saya.

“Saya doakan dan minta rakan-rakan supaya kebenaran akan dapat kita capai,” katanya.

Terdahulu, Shamsul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829 di depan Hakim Suzana Hussin.

Suapan itu didakwa diterima daripada ahli perniagaan, Albert Tei berkait penerokaan mineral di Sabah.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan Shamsul diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin dan mengarahkan pasportnya dirampas sehingga kes selesai, serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.