Pilihan Kabinet Hajiji untuk perkasa pemimpin tempatan, kata penganalisis

Pilihan Kabinet Hajiji untuk perkasa pemimpin tempatan, kata penganalisis

Pelantikan Ewon Benedick dari Upko sebagai timbalan ketua menteri, tanda pengiktirafan pengerusi GRS terhadap sokongan parti dan potensi tarik sokongan tempatan ke kemnya, kata pensyarah kanan UiTM Sabah.

hajiji noor
Kabinet baharu Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor terdiri daripada wakil GRS, BN, Upko dan PH.
PETALING JAYA:
Pemilihan Hajiji Noor bagi jawatan menteri negeri bukan sahaja memberi isyarat mahu memperkasakan peranan pemimpin tempatan dalam kerajaan Sabah, tetapi juga usaha merapatkan barisan parti-parti berasaskan negeri, kata penganalisis.

Keputusan ketua menteri itu melantik Presiden Upko Ewon Benedict sebagai timbalan ketua menteri juga dilihat sebagai pengiktirafan terhadap sokongan partinya kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menurut pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara Sabah Tony Paridi Bagang.

Tony Paridi Bagang
Tony Paridi Bagang.

“Dengan Upko kini berada di pihaknya, Hajiji berharap ia akan menarik lebih banyak parti tempatan menyertai kumpulannya,” kata Bagang kepada FMT.

Upko berundur daripada Pakatan Harapan (PH), yang bekerjasama dengan GRS, beberapa hari sebelum pilihan raya. Antara lain, Setiausaha Agung Upko Nelson Angang ketika itu berkata langkah itu dibuat sebagai respons kepada sentimen tempatan agar rakyat Sabah bersatu.

Langkah itu dibuat hanya sehari selepas Ewon meletak jawatan sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Keutamaan terhadap kepentingan Sabah menjadi slogan utama pada PRN 29 Nov, khususnya selepas Pejabat Peguam Negara mengumumkan bahawa ia akan memfailkan rayuan ‘separa’ terhadap keputusan mahkamah tinggi yang mengesahkan hak Sabah terhadap 40% hasil diperoleh dari negeri itu.

Bagang berkata, dengan memenangi tiga kerusi, Upko bukan sahaja akan mengukuhkan mesej ‘Sabah First’ tetapi juga membantu memulihkan kepercayaan pengundi Kadazandusun dan Murut (KD&M).

Katanya lagi, keputusan Hajiji memasukkan Ewon ke dalam Jemaah Mentgerinya juga merupakan sebahagian daripada rancangan lebih besar untuk menyatukan semua parti Sabah, termasuk yang pada asalnya tidak berada dalam gabungan GRS.

“Ia selari dengan gaya politik Sabah yang bersifat dinamik dan dibentuk melalui perbincangan sesama pemimpin parti,” katanya.

Beliau menambah langkah itu juga bertujuan menjadikan Upko sebagai pengganti STAR sebagai rakan utama KDM dalam kerajaan.

Strategi di sebalik barisan baharu

Keinginan untuk mengukuhkan wakil daripada parti-parti berasaskan Sabah dalam Jemaah Menteri kini menyebabkan PH dan Barisan Nasional (BN) masing-masing memegang satu portfolio sahaja.

BN diwakili oleh Jafry Ariffin dari Umno, yang diberikan portfolio pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar.

Jamawi Jaafar, yang memenangi kerusi Melalap atas tiket PKR, memegang portfolio pertanian, perikanan dan industri makanan. PKR adalah tunjang kepada PH.

Bagang berkata, walaupun wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat tempatan terhadap parti-parti dari Semenanjung, PH dan BN tetap dimasukkan sebagai tanda hubungan baik.

“Ia membantu memastikan hubungan Kota Kinabalu–Putrajaya berjalan lancar,” katanya.

Dalam Jemaah Menteri Hajiji sebelum ini, terdapat dua wakil PH dan seorang wakil BN.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata pelantikan Ewon menunjukkan Hajiji mahu merampas semula naratif KDM selepas persaingan sengit di beberapa kerusi pedalaman.

“Ewon ialah pemimpin KDM yang konsisten dan progresif. (Penyertaannya) akan membantu meningkatkan kedudukan GRS dalam kalangan pengundi Bumiputera bukan Islam,” katanya kepada FMT.

Awang Azman berkata langkah itu juga membolehkan Hajiji menjamin kestabilan dalam kerajaan yang tidak mempunyai majoriti besar.

“Ia juga menunjukkan bahawa kedua-dua Bumiputera Islam dan bukan Islam penting dalam dinamika politik Sabah,” tambahnya.

Katanya, membawa Upko masuk ke dalam kelompok utama membantu menyatukan undi KDM di bawah satu payung, sekali gus mengurangkan pengaruh Warisan dalam komuniti tersebut.

Pengecualian presiden STAR tidak mengejutkan

James Chin dari University of Tasmania berpendapat bahawa tindakan mengetepikan Presiden STAR Jeffrey Kitingan daripada jawatan Jemaah Menteri negeri merupakan cara Hajiji menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan STAR keluar daripada GRS sebelum pilihan raya.

James Chin
James Chin.

Katanya, langkah itu memberi isyarat bahawa ‘Hajiji yang memegang kuasa’.

Namun, seorang lagi wakil rakyat STAR, Ishak Ayub, yang memenangi kerusi Bingkor, telah dilantik sebagai pembantu menteri kewangan.

Kitingan berkata pelantikan Ishak dibuat oleh ketua menteri dan tidak dibincangkan dengan partinya. Namun beliau menambah bahawa Ishak bebas menerima pelantikan tersebut.

Mengenai BN yang dibawa masuk ke dalam Jemaah Menteri lebih awal berbanding STAR, Chin berkata ‘tiada siapa nampaknya tahu sebab sebenar’, sambil menambah bahawa ahli STAR sendiri juga terkejut.

Beliau berkata penyertaan Jamawi dari PKR sudah dijangka, kerana barisan itu merupakan ‘ulang susun kerajaan lama’, merujuk kepada kerajaan GRS–PH Plus yang dibentuk selepas PRN 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.