Isu 10 ladang: Hasil mesyuarat Felda, FGV dibentang Kabinet esok

Isu 10 ladang: Hasil mesyuarat Felda, FGV dibentang Kabinet esok

Kerajaan Terengganu keluar notis larangan ceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang didakwa diteroka tanpa bayaran premium, cukai atau kongsi keuntungan lebih 40 tahun.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata lembaga pengarah Felda dan FGV sedang bermesyuarat hari ini bagi membincangkan cadangan serta penyelesaian isu itu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Resolusi berhubung isu 10 ladang FGV Holdings Bhd (FGV) yang dikenakan notis larangan menceroboh oleh kerajaan Terengganu akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok, kata Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.

Menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata, lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda ) dan FGV sedang bermesyuarat hari ini bagi membincangkan saranan, cadangan serta penyelesaian berhubung isu berkenaan.

“Saya yakin beberapa saranan dan cadangan daripada mesyuarat lembaga pengarah akan disampaikan kepada saya dan saya akan bentangkan esok bagi membolehkan beberapa langkah tindakan segera dilakukan kerajaan,” katanya selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.

Mengenai keperluan mewujudkan pasukan khas meneliti isu itu bagi mengelakkan berulang di negeri lain, beliau berkata tiada keperluan berbuat demikian.

“Saya tidak nampak ada masalah kerana perkara ini boleh dibawa ke Majlis Tanah Negara serta dibincangkan bersama menteri besar dan ketua menteri. Lazimnya, isu sebegini diselesaikan di peringkat itu, bukan melalui tindakan undang-undang atau pengosongan premis.

“Segala-galanya boleh dirundingkan, walaupun negeri terbabit tidak sealiran dengan Putrajaya.”

Ditanya bila beliau akan menemui Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar bagi membincangkan isu ini, Zahid berkata, tarikh belum ditetapkan.

“Saya dan beliau belum menetapkan tarikh lagi dan insya-Allah secepat mungkin.”

Ahad lalu, kerajaan Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu, selepas mendakwa lebih 40 tahun tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan.

Pada 2 Dis lalu, Felda dan FGV dalam kenyataan bersama memaklumkan proses semakan menyeluruh sedang dijalankan ke atas semua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan isu notis amaran kerajaan Terengganu ke atas ladang milik agensi dan anak syarikat itu.

Proses semakan itu merangkumi sejarah ladang, rekod pembayaran, bayaran premium tanah, status hak milik dan syarat pembangunan ladang.

Langkah itu susulan notis amaran pendudukan tidak sah dan kesalahan menceroboh yang dikeluarkan ke atas ladang lot Felda serta FGV di daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman pada 30 Nov, 1 Dis dan 2 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.