
Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 6.32 petang, sebelum tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
Komander Operasi Abdul Naseer Abd Rahim berkata bomba menerima maklumat awal bahawa kedua-dua mangsa hanyut dibawa arus deras selepas masuk ke dalam longkang untuk mengambil bola.
“Kerja kerja pencarian di lakukan di kawasan longkang utama,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, dua buah rumah setingkat di Kampung Bukit Sungai Putih, Lembah Jaya Utara mengalami kerosakan selepas dihempap runtuhan tanah.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.09 malam, sebelum pasukan dari Balai Bomba Ampang tiba di lokasi pada 7.16 malam.
Pemeriksaan mendapati tanah runtuh sepanjang 40 kaki berlaku berhampiran rumah berkenaan dan tiada mangsa yang terlibat.
Sementara itu, satu lagi kejadian tanah runtuh setinggi kira-kira 20m berlaku berhampiran sebuah rumah tiga tingkat di Jalan Gombak, Batu 6 ¼ telah mengakibatkan sebatang pokok tumbang menghempap bahagian kediaman berkenaan.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor menerima panggilan kecemasan pada 7.30 malam, sebelum pasukan dari Balai Bomba Selayang tiba di lokasi pada 7.37 malam.
Komander operasi Suhaimi Samoori berkata pihaknya telah mengarahkan penghuni untuk mengosongkan kediaman ke tempat selamat.
Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur memaklumkan beberapa lokasi di ibu kota dilanda banjir kilat akibat hujan lebat petang tadi.
Antara kawasan yang terlibat adalah Jalan Sentul Pasar di Taman Bahagia, Jalan Batu Bata di Titiwangsa Sentral, Jalan Haji Salleh di Sentul, Kampung Chubadak di Sentul dan Jalan Ipoh.