Tuduhan Majlis Peguam tak berasas, kata Azam

Tuduhan Majlis Peguam tak berasas, kata Azam

Azam Baki berkata peruntukan undang-undang memberi kuasa kepada SPRM memerintahkan mana-mana individu hadir dan mengemukakan dokumen bagi membantu siasatan.

Azam Baki berkata SPRM diberi kuasa untuk memerintahkan mana-mana individu hadir dan menyerahkan dokumen diperlukan bagi membantu siasatan.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan Majlis Peguam Malaysia yang ia melanggar Seksyen 46 Akta SPRM 2009 apabila memanggil peguam kepada individu yang sedang disiasat.

Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki berkata tuduhan itu tidak berasas kerana kehadiran peguam Mahajoth Singh—yang mewakili ahli perniagaan Albert Tei adalah bagi tujuan merakam keterangan di bawah Seksyen 30(1) dan 30(2) akta sama.

Beliau menegaskan undang-undang memberi kuasa jelas kepada SPRM untuk memerintahkan mana-mana individu hadir dan menyerahkan dokumen diperlukan bagi membantu siasatan.

“Undang-undang tidak memberi pengecualian kepada peguam atau mana-mana profesion lain. Seksyen 46 mengenai kerahsiaan komunikasi guaman-anak guam tidak pernah diketepikan.

“SPRM juga tidak meminta maklumat berkaitan nasihat sulit antara peguam dan anak guam.

“Apa yang diminta hanyalah bukti serta maklumat dalam pemilikan individu yang mempunyai maklumat penting untuk siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.

Majlis Peguam sebelum ini menyifatkan tindakan SPRM memanggil peguam Albert sebagai menjejaskan integriti keistimewaan profesional undang-undang dan melanggar Seksyen 46.

Mengulas lanjut, Azam berkata prinsip undang-undang adalah jelas—keistimewaan guaman tidak membebaskan seseorang daripada kewajipan hadir apabila dipanggil pihak berkuasa, dan ia tidak melindungi dokumen atau bahan yang bukan sebahagian daripada nasihat guaman.

“SPRM bertindak mengikut prosedur yang sah. Peguam hanya diminta hadir seperti saksi lain.

“Ini bukan tindakan pendakwaan dan tidak menjejaskan kedudukannya sebagai peguam mana-mana pihak,” katanya sambil memaklumkan siasatan berasingan terhadap Mahajoth akan diteruskan minggu depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.