
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Nordin Hassan, yang membenarkan rayuan Yew Wei Liang, memutuskan bahawa hukuman penjara asal yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi, dan kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan, adalah keterlaluan.
“Kami berpendapat hukuman itu agak berat,” kata Nordin yang bersidang bersama Hakim Vazeer Alam Mydin Meera dan Lee Swee Seng.
Yew dilihat menangis teresak-esak di kandang tertuduh manakala ahli keluarganya kelihatan lega selepas keputusan mahkamah diumumkan.
Peguam N Sivananthan memberitahu pemberita bahawa Yew, 47, dijangka dibebaskan pada 2027 selepas mengambil kira remitan satu pertiga yang diberikan kepada banduan kerana berkelakuan baik.
Terdahulu, panel hakim menolak rayuan Yew untuk dihukum atas tuduhan yang lebih ringan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat.
Panel itu juga menolak rayuan silang pihak pendakwaan agar dia disabitkan dengan kesalahan membunuh, yang akan bergantung kepada budi bicara hakim untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee mewakili pihak pendakwaan.
Yew pada mulanya didakwa atas tuduhan membunuh selepas melanggar Syed Danial Syed Syakir, 29, berulang kali di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Bandar Baru Bangi pada 10 Ogos 2019, mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.
Bagaimanapun, pada 7 Dis 2023, Hakim Julia Ibrahim mendapati dia bersalah atas tuduhan yang lebih ringan, iaitu menyebabkan kematian tidak bersamaan membunuh.
Beliau menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun, berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 10 Ogos 2019.
Mahkamah Rayuan kemudiannya menolak rayuan Yew terhadap sabitan dan hukumannya pada Mac tahun ini.