Hutang terbesar kerajaan masih 1MDB, kata Anwar

Hutang terbesar kerajaan masih 1MDB, kata Anwar

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata sejumlah RM42 bilion sudah dibayar, manakala RM29 bilion sedang dipulihkan melalui usaha bersepadu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan usaha kerajaan membayar balik hutang 1MDB yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Beban hutang terbesar kerajaan kekal hutang yang diwarisi daripada 1MDB, berjumlah RM50 bilion termasuk RM17 bilion faedah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan telah membayar RM42 bilion, merangkumi bayaran prinsipal dan faedah.

“Hutang terbesar kerajaan masih 1MDB yang kita warisi pada 2018. Jumlahnya RM34 bilion, dan jika dicampur RM17 bilion faedah, keseluruhannya hampir RM50 bilion,” katanya menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi).

“Setakat ini kerajaan telah membayar RM42 bilion, meliputi prinsipal dan faedah. Namun, kita berjaya mendapatkan semula RM29 bilion hasil usaha Jabatan Peguam Negara, kementerian kewangan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.”

Syahredzan meminta perdana menteri menjelaskan jumlah keseluruhan hutang negara ketika ini, prinsip kerajaan dalam mengurangkan pinjaman baharu, serta strategi pembayaran balik untuk memastikan hutang negara dan defisit fiskal terus menurun.

Anwar berkata pengurusan fiskal kerajaan dipandu oleh Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang menetapkan sasaran jangka sederhana, termasuk mengurangkan defisit kepada 3% dan memastikan nisbah hutang kepada KDNK kekal di bawah 60%.

“Defisit kita turun daripada 5% pada 2023 kepada 4.1% pada 2024, dan 3.8% pada 2025,” katanya.

“Pinjaman baharu juga menurun, daripada RM100 bilion pada 2021 kepada sekitar RM75 bilion ketika ini.”

Sehingga September 2025, jumlah hutang persekutuan ialah RM1.3 trilion, atau 64% daripada KDNK, yang menurut Anwar masih di bawah had statutori 65%.

Pinjaman luar negara Malaysia bernilai RM22.4 bilion, juga jauh di bawah had RM35 bilion yang ditetapkan Perbendaharaan.

Perluasan LRT Pulau Pinang berpatutan

Dalam isu berasingan, Anwar berkata keputusan melanjutkan laluan LRT Pulau Pinang merentasi laut ke Seberang Perai dibuat bagi memastikan projek itu memberi manfaat kepada kawasan majoriti Melayu dan negeri-negeri berdekatan seperti Kedah dan Perlis.

Beliau menjawab soalan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), yang mempersoalkan sama ada projek LRT Pulau Pinang dan inisiatif bandar pintar Kota Madani wajar diteruskan memandangkan keadaan hutang negara.

Rosol berkata kos LRT Pulau Pinang meningkat daripada RM10 bilion pada Oktober 2023 kepada RM13 bilion dan kemudian RM17 bilion, sambil berhujah bahawa jumlah sama boleh digunakan untuk membina 340 sekolah di seluruh negara.

Menjawab dakwaan itu, Anwar berkata kenaikan kos menunjukkan usaha kerajaan memperluas capaian LRT tersebut, dan sebahagian pembiayaan projek dibiayai melalui bon yang akan dibayar secara berperingkat.

Beliau menambah LRT Pulau Pinang perlu dilihat sama seperti projek infrastruktur besar lain seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang turut menelan belanja berbilion ringgit.

“Mengapa persoal LRT Pulau Pinang tetapi tidak ECRL dan manfaatnya untuk negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu?

“Kena faham bahawa LRT Pulau Pinang bukan semata-mata perbelanjaan pembangunan. Sebahagiannya dibiayai menerusi bon yang akan dibayar balik dari masa ke masa,” katanya.

Anwar turut menjelaskan bahawa projek Kota Madani di Putrajaya bukanlah pembangunan “mega city”, tetapi bertujuan menyediakan perumahan untuk 10,000 penjawat awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.