Hanya calon mampu satukan semua Melayu layak jadi PM, kata Dr M

Hanya calon mampu satukan semua Melayu layak jadi PM, kata Dr M

Bekas perdana menteri itu berkata jawatan presiden parti politik atau status calon perdana menteri tidak menjamin seseorang itu dilantik menerajui negara.

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad berkata calon perdana menteri hanya boleh muncul melalui kesatuan orang Melayu, yang akan menentukan siapa paling layak mewakili kepentingan komuniti itu.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad berkata, keupayaan menyatukan orang Melayu faktor paling penting dalam menentukan individu layak menjadi perdana menteri.

Beliau berkata, jawatan presiden parti politik atau status calon perdana menteri tidak menjamin seseorang itu dilantik menerajui negara.

“Berpecah kepada banyak parti, tidak ada parti yang akan menang PRU.

“Jika tidak menang PRU, tidak mungkin jadi perdana menteri walaupun mendapat sokongan parti yang diketuai. Oleh itu, apa perlunya menjadi ketua parti?” kata bekas perdana menteri itu dalam kenyataan tanpa merujuk atau menamakan mana-mana individu atau parti secara khusus.

Tegasnya, calon perdana menteri hanya boleh muncul melalui kesatuan orang Melayu, yang akan menentukan siapa paling layak mewakili kepentingan komuniti itu.

Beliau turut menekankan slogan “Bersatu Teguh, Bercerai Roboh” dalam landskap politik semasa, dengan memberi amaran terlalu ramai calon hanya meningkatkan risiko semua calon kalah, sekaligus melemahkan kedudukan politik orang Melayu dalam pilihan raya.

Walaupun tidak menamakan mana-mana parti, Mahathir difahamkan merujuk Bersatu dan Presidennya Muhyiddin Yassin.

Mahathir merupakan pengasas bersama Bersatu pada 2016 dan pernah menjadi pengerusinya sebelum dipecat pada 2020.

Kebelakangan ini, Bersatu dilanda perpecahan dalaman yang menyaksikan 17 pemimpinnya, termasuk Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin dipecat pada kemuncak perebutan kepimpinan dengan Muhyiddin bulan lalu.

Terdahulu, veteran politik, Rais Yatim hari ini mengkritik partinya sendiri dengan berkata ia tidak patut dipanggil ‘Bersatu’ lagi kerana tidak mencerminkan realiti sebenar.

“Segala-galanya dalam Bersatu sudah berpecah, kecuali namanya,” kata bekas pemimpin Umno dan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.