
Nazlan Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah, yang kedua-duanya diberi tanggungjawab mengendalikan kes rasuah berprofil tinggi di Mahkamah Tinggi, turut termasuk dalam empat hakim Mahkamah Rayuan yang akan dinaikkan pangkat ke mahkamah tertinggi.
Pada September lalu, FMT, memetik sumber, melaporkan bahawa dua hakim Mahkamah Rayuan adalah calon utama bagi jawatan CJM, jawatan ketiga tertinggi dalam hierarki kehakiman.
“Nama Hashim mungkin tidak dicadangkan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), namun kelayakannya menjadikan beliau calon sesuai untuk jawatan yang memerlukan pengalaman mengendalikan tugas-tugas mencabar,” kata sumber kepada FMT.
Jika dilantik, Hashim, yang bakal berusia 64 tahun hujung bulan ini, akan mengisi kekosongan ditinggalkan Hasnah Hashim yang bersara pada 15 Nov lalu.
Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada November 2012 dan menjadi hakim Mahkamah Tinggi dua tahun kemudian. Pada Mac 2021, beliau dinaikkan ke Mahkamah Rayuan.
Dilahirkan di Pulau Pinang, Hashim merupakan graduan fakulti undang-undang Universiti Malaya pada 1985 dan pernah memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan, termasuk sebagai majistret, hakim mahkamah sesyen dan pengarah pendakwaan negeri di Perak, Sarawak dan Kedah.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan pendaftar kanan dan kemudian pendaftar kanan Mahkamah Persekutuan sebelum diserap masuk ke badan kehakiman.
Pada 28 Julai, hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 63, dilantik mengetuai badan kehakiman walaupun hanya dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada November tahun lalu.
Pada hari sama, Azizah Nawawi, 63, yang ketika itu merupakan hakim paling kanan di Mahkamah Rayuan, dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, menjadikannya wanita pertama memegang jawatan tersebut.
Nazlan merupakan hakim perbicaraan yang mendengar dan mensabitkan Najib Razak pada 2020 atas penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB. Beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas perdana menteri itu.
Sabitan dan hukuman tersebut kemudiannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan hukuman penjara kepada separuh serta mengurangkan denda kepada RM50 juta.
Sequerah pula mengendalikan perbicaraan rasuah Presiden Umno Zahid Hamidi, namun kemudian melepas tanpa membebasknnya (DNAA) atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan lanjut.
Beliau juga merupakan hakim perbicaraan dalam kes 1MDB Najib yang sedang berlangsung, melibatkan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion. Sequerah akan menyampaikan keputusan perbicaraan itu pada 26 Disember.
Dua lagi hakim Mahkamah Rayuan yang dijangka dinaikkan ke mahkamah tertinggi ialah Che Ruzima Ghazali dan Azimah Omar.
Kenaikan pangkat empat hakim itu akan menyaksikan 10 kerusi di bangku mahkamah tertinggi terisi, satu kurang daripada jumlah maksimum yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.
Hashim dan keempat-empat hakim berkenaan akan menerima surat pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Rabu, 3 Dis, dengan upacara mengangkat sumpah akan berlangsung di Istana Kehakiman pada sebelah petang.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, pelantikan kehakiman dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Nama calon-calon berpotensi dicadangkan kepada perdana menteri oleh JAC yang dianggotai sembilan ahli, dipengerusikan oleh ketua hakim negara.