GRS terima BN untuk elak kerajaan baharu tumbang

GRS terima BN untuk elak kerajaan baharu tumbang

Sumber dalaman GRS dakwa wujud usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang baharu terbentuk di Sabah.

Kerajaan baharu terbentuk di Sabah bawah pentadbiran Hajiji Noor, seusai PRN Sabah ke-17 pada Sabtu. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Barisan Nasional (BN) diterima menjadi sebahagian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus untuk mengelakkan pentadbiran Hajiji Noor tumbang, hanya dua hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Sumber dalaman GRS mendakwa wujud usaha daripada Warisan untuk menjatuhkan kerajaan yang baharu terbentuk ini, antaranya dengan menawarkan jawatan menteri penuh kepada wakil rakyat BN serta lima Adun bebas.

“Kita tiada pilihan selain menerima BN. Jika tidak pentadbiran Sabah akan tumbang,” katanya kepada FMT.

Dalam rundingan membentuk kerajaan perpaduan sebelum itu, difahamkan BN menuntut jawatan timbalan ketua menteri dan menteri kewangan, namun Ketua Menteri Hajiji tidak bersetuju.

Sementara itu, turut difahamkan, ketika ini berlaku rundingan antara pemimpin Warisan, BN dan Adun bebas di The Palace Hotel, Kota Kinabalu.

Adun bebas berkenaan adalah Fairuz Renddan (Pintasan), Rina Jainal (Kukusan), Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas), Maijol Mahap (Bandau) dan Jordan Jude Ellron (Tulid).

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri I Dr Joachim Gunsalam mengumumkan BN dan Pakatan Harapan (PH) sebahagian kerajaan Sabah bawah pentadbiran Hajiji.

Adun Melalap Jamawai Jaafar dari PH dan Adun Sukau Jafry Ariffin dari BN antara 10 menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Musa Aman.

Ahad lalu, Hajiji mengangkat sumpah sebagai ketua menteri untuk penggal kedua selepas mendapat sokongan sekurang-kurangnya 37 Adun.

Pada PRN Sabah sehari sebelumnya, GRS menang 29 kerusi yang kemudiannya disokong tiga wakil rakyat Upko, lima bebas dan seorang wakil rakyat PH.

Difahamkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang memiliki satu kerusi di DUN Paginatan turut menyokong kerajaan GRS.

Beberapa jam selepas Hajiji mengangkat sumpah, BN yang mempunyai enam kerusi turut mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan Hajiji, begitu juga Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan dua kerusi.

Difahamkan berlaku perbincangan di antara Warisan, yang menang 25 kerusi, untuk bergabung dengan BN selain beberapa parti lain untuk membentuk pakatan bagi mentadbir Sabah.

Namun, Presiden Warisan Shafie Apdal menafikan ada bertemu dengan pemimpin dari parti lain untuk membentuk pakatan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.