Pastikan aspirasi rakyat dilaksana, GRS ingatkan Adun komponen kerajaan

Pastikan aspirasi rakyat dilaksana, GRS ingatkan Adun komponen kerajaan

Rakyat Sabah mahu aspirasi mereka dilaksanakan segera melalui kerajaan yang stabil, inklusif, dan berintegriti.

Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali kata rakyat Sabah inginkan kerajaan bawa perubahan yang lebih bernilai dan bermakna. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah mengingatkan semua Adun yang menyertai kerajaan baharu di Sabah bahawa mereka bertanggungjawab memastikan aspirasi rakyat Sabah dilaksanakan, walau apa pun latar belakang politik masing-masing.

Timbalan Setiausaha Agung Armizan Mohd Ali turut mengingatkan rakyat Sabah mahu aspirasi mereka dilaksanakan segera melalui kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti.

“Sungguhpun tidak ada satu gabungan parti yang mendapat majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan, namun mandat rakyat yang turun mengundi inginkan sebuah kerajaan didirikan untuk membawa perubahan yang lebih bernilai dan bermakna,” menurut kenyataan.

“Dari mana pun datangnya Adun yang dipilih dan menjadi komponen kepada kerajaan negeri, pastikan aspirasi rakyat Sabah dilaksanakan segera melalui sebuah kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti.”

Peringatan ini menyusuli pembentukan Jemaah Menteri baharu, hari ini, dianggotai wakil-wakil rakyat daripada GRS, Upko, Pakatan Harapan, dan Barisan Nasional.

Armizan berkata Jemaah Menteri itu didirikan atas komitmen wakil-wakil parti yang terlibat, untuk membentuk kerangka dan asas utama hala tuju Sabah.

“Jemaah Menteri Negeri bertanggungjawab memaklumkan rakyat kerangka dan asas agenda utama negeri sebaik mesyuarat yang pertama,” katanya.

GRS turut mengiktiraf peranan lima Adun bebas, mengatakan suara mereka amat penting. “Sementara Adun pembangkang memainkan peranan penting semak dan imbang.”

“Moga segala ikhtiar diberkati untuk merintis masa depan yang jauh lebih baik untuk Sabah dan rakyat Sabah keseluruhannya,” katanya.

GRS memperoleh 29 kerusi pada PRN Sabtu lalu dan kemudian mendapat sokongan tiga Adun Upko, seorang dari Pakatan Harapan, dan lima Adun bebas.

Beberapa jam selepas Ketua Menteri Hajiji Noor mengangkat sumpah, Barisan Nasional (BN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) – yang masing-masing memegang enam dan dua kerusi – turut mengisytiharkan sokongan kepada pentadbirannya.

Hajiji mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal kedua awal pagi semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.