Upko dukung agenda ‘Sabah First’ dalam menyokong kerajaan negeri

Upko dukung agenda ‘Sabah First’ dalam menyokong kerajaan negeri

Presiden Upko Ewon Benedick percaya Ketua Menteri Hajiji Noor boleh bentuk kerajaan negeri yang terdiri daripada parti tempatan.

(Dari kiri) Upko menang tiga kerusi dalam PRN Sabah semalam menerusi Presiden parti Ewon Benedick (Kadamaian), bekas presiden, Wilfred Madius Tangau (Tamparuli), dan timbalan presiden Donald Peter Mojuntin (Moyog).
PETALING JAYA:
Upko berikrar terus memperjuangkan agenda ‘Sabah First’ dalam menyokong kerajaan negeri yang diterajui Ketua Menteri Hajiji Noor, yang turut mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Ewon Benedick, berkata tiga wakil rakyat Upko itu bukan sahaja dipilih untuk mewakili kawasan masing-masing, tetapi juga untuk mempertahankan maruah dan mendapatkan semula hak-hak negeri itu.

Katanya, ketiga-tiga Adun Upko itu menyatakan kepada Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bahawa mereka percaya beliau beliau boleh menubuhkan kerajaan negeri yang terdiri daripada parti tempatan sepenuhnya.

“Sudah tentu Hajiji lebih bijaksana dalam menentukan kabinet kerajaan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Upko menarik diri daripada PH beberapa hari sebelum penamaan calon bagi PRN Sabah ke-17, atas alasan perbezaan yang belum diselesaikan berhubung hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan yang dikutip dari negeri itu.

Parti itu meningkatkan jumlah kerusi yang dimenanginya daripada satu kepada tiga semalam, melalui Ewon (Kadamaian), Timbalan Presiden Donald Peter Mojuntin (Moyog) dan bekas presiden parti Wilfred Madius Tangau (Tamparuli).

PH hanya menang satu kerusi, dengan bekas pemimpin GRS Jamawi Jaafar dipilih sebagai Adun Melalap.

Ewon, Adun Kadamaian tiga penggal, berkata perkara penting bagi Upko adalah hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau turut menyeru semua rakyat Sabah untuk bersatu selepas pilihan raya bagi membangunkan Sabah dan mengembalikan hak negeri itu bersama-sama.

“Keputusan pilihan raya ini juga harus menjadi iktibar dan harus menjadi persiapan kepada pilihanraya umum yang seterusnya, supaya agenda bersama ‘Sabah First’ dapat dijayakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.