
PBS pada mulanya dibimbangi akan mengalami kemerosotan kerana sentimen tempatan dimainkan lawan memandangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disertainya bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
Walaupun berstatus parti pelbagai kaum, namun PBS sering dikaitkan dengan perjuangan untuk masyarakat Kadazan Dusun Murut.
Parti itu menang enam kerusi di Kundasang, Matunggong, Tandek, Kiulu, Lumadan dan Telupid sekali gus menyumbang kepada 29 DUN dimenangi GRS pada PRN semalam.
Pemangku Presiden PBS Joachim Gunsalam mempertahankan kerusi Kundasang, manakala Naib Presiden Ruslan Muharam turut mengekalkan Lumadan.
Setiausaha Agungnya Julita Majungki cemerlang di Matunggong apabila mempertahankan kerusi itu dengan mengetepikan cabaran Timbalan Presiden Parti Demokratik Masyarakat (KDM) Wetrom Bahanda.
Ketua Penerangan Joniston Bangkuai mengekalkan DUN Kiulu untuk penggal ketiga, Hendrus Anding mempertahankan Tandek, manakala Jonnybone J Kurum menawan Telupid.
Namun, ia kehilangan kerusi Tamparuli disandangnya sebelum ini apabila pendatang baharu Bonaventure Boniface yang menggantikan Jahid Jahim tewas kepada calon Upko Wilfred Madius Tangau.
PBS juga kalah dalam cubaannya untuk kembali menguasai Moyog apabila calon mudanya JoeyNodd Bansin tewas di tangan Timbalan Presiden Upko Donald Peter Mojuntin.