
Michel yang bertanding di DUN Telupid berputih mata dengan hanya mendapat 291 undi, sekali gus tewas kepada penyandang Jonnybone Kurum daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memperoleh 3,868 undi dalam saingan sembilan penjuru.
Dalam saingan 10 penjuru di DUN Sebatik, Presiden Parti Rumpun Sabah (Rumpun), Ismail Idris turut hilang wang deposit selepas hanya memperoleh 41 undi, kecundang kepada calon Warisan, Manahing Tinggilani @ Tanggilani yang mendapat 2,795 undi.
Bekas menteri pelancongan, seni dan budaya, Mohamaddin Ketapi yang bertanding atas tiket bebas di DUN Segama juga terpaksa akur kehilangan deposit selepas meraih 1,644 undi dan tewas kepada calon Warisan, Muhammad Abdul Karim yang menang dengan 7,325 undi.
Mengikut pecahan parti bertanding, PIS merekodkan jumlah kehilangan wang deposit tertinggi dengan 72 calon, diikuti calon bebas 60 orang, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Perikatan Nasional, masing-masing dengan 36 calon.
Sementara itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) merekodkan 30 calon hangus wang deposit, Warisan (23), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) (15), Barisan Nasional (12) dan Pakatan Harapan (PH) dengan dua calon.
DUN Tulid mencatatkan calon paling ramai hilang wang deposit, apabila 11 daripada 14 calon gagal mendapat lebih satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi.
PRN Sabah ke-17 mempertandingkan 73 kerusi DUN yang menyaksikan hampir 600 calon bertanding.