MIC telah mohon sertai PN, kata Muhyiddin

MIC telah mohon sertai PN, kata Muhyiddin

Pengerusi Muhyiddin Yassin berkata semua komponen PN mengalu-alukan kemasukan MIC.

Muhyiddin Yassin
MIC dimaklumkan bahawa permohonan untuk sertai PN akan dibincangkan selepas PRN Sabah, kata Pengerusi Muhyiddin Yassin.
SHAH ALAM:
Perikatan Nasional mengumumkan MIC telah memohon untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Muhyiddin Yassin berkata permohonan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi PN, namun secara dasarnya, semua komponen mengalu-alukan kemasukan MIC.

“Saya maklum kepada presiden dan setiausaha agung MIC (SA Vigneswaran dan Ananthan) bila selesai PRN Sabah kita akan mesyuarat dan bincang secara terperinci permohonan yang dibuat MIC,” katanya pada sidang media.

“Keputusan muktamad akan dibuat bila mana majlis tertinggi PN mengadakan mesyuarat meneliti permohonan itu dan selepas itu kita akan maklum secara rasmi keputusan tentang penyertaan MIC dalam PN.”

Muhyiddin mengumumkan perkara ini selepas menghadiri konvensyen Urimai di Ideal Convention Centre.

Perhimpunan Agung MIC ke-79 pada 16 Nov lalu menyaksikan Timbalan Presiden M Saravanan membentangkan usul keluar daripada BN dan memohon secara rasmi untuk menyertai PN.

Usul-usul tersebut dibahas namun tiada undian dijalankan kerana mesyuarat bersetuju untuk menyerahkan keputusan kepada kepemimpinan tertinggi MIC.

Perkembangan itu berlatarkan ketidakpuasan hati terhadap layanan yang didakwa tidak adil oleh Umno, menyusuli spekulasi mengenai hala tuju MIC yang berlarutan selama beberapa bulan.

Vigneswaran berkata MIC sampai ke persimpangan dalam perjalanannya bersama BN, dan terpulang kepada perwakilan untuk menentukan arah serta masa depannya.

Pada 18 Nov lalu, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dilapor berkata BN akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi MIC selepas PRN Sabah, yang berakhir semalam.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengumumkan Parti Pejuang Tanahair pimpinan Mukhriz Mahathir turut memohon untuk menyertai PN.

PN bagaimanapun memerlukan maklumat terperinci berhubung jawatankuasa, keahlian, bahagian dan cawangan parti itu.

“Bila bersidang nanti kita dapat maklumat lengkap untuk diambil kira dalam mesyuarat,” katanya.

PN ketika ini dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.