4 ditahan buat kecoh di majlis pecah tanah projek Kg Sg Baru

4 ditahan buat kecoh di majlis pecah tanah projek Kg Sg Baru

Polis berkata semua individu itu termasuk aktivis Rafidah Ibrahim disyaki merancang bagi cetus rusuhan dan pecah keamanan.

fadil marsus
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata keempat-empat individu itu ditahan sebagai langkah pencegahan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Empat individu, termasuk pelakon dan aktivis Rafidah Ibrahim, ditahan polis kerana didakwa merancang untuk mencetuskan gangguan ketenteraman awam semasa majlis pecah tanah projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata pihaknya dimaklumkan sekitar jam 8.50 pagi bahawa satu perhimpunan akan diadakan ‘bagi mencetuskan rusuhan dan pecah keamanan’ ketika majlis pecah tanah itu berlangsung.

Susulan itu, Rafidah bersama seorang lagi wanita dan dua lelaki, berumur antara 39 hingga 47 tahun, ditahan di kawasan Kampung Sungai Baru.

Fadil berkata mereka ditahan sebagai langkah pencegahan, seperti diperuntukkan bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah yang berkaitan pencegahan kesalahan boleh tangkap.

“Keempat-empat individu itu semasa ditahan menjerit-jerit di mana mendatangkan kacau ganggu dan pecah keamanan semasa majlis tersebut. Polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.