Warga emas rugi RM500,000 angkara ‘kerja sambilan’

Warga emas rugi RM500,000 angkara ‘kerja sambilan’

Mangsa berusia 71 tahun menerima tawaran kerja menerusi mesej dihantar individu tidak dikenali sekitar September lalu melalui TikTok.

scammers
Polis berkata mangsa membuat 23 kali transaksi pembayaran membabitkan RM527,130 ke 16 akaun bank berbeza seperti diarahkan dan menyedari tertipu apabila gagal mendapatkan komisen seperti dijanjikan.
KUCHING:
Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM500,000 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan menerusi aplikasi TikTok.

Ketua Polis Kuching, Alexson Naga Chabu, berkata mangsa berusia 71 tahun menerima tawaran kerja menerusi mesej dihantar individu tidak dikenali sekitar September lalu melalui ‘TK Shop’.

“Tertarik dengan tawaran komisen yang lumayan, mangsa bersetuju menyertai program tersebut dan diberikan beberapa tugasan untuk mendapatkan komisen yang lumayan yang dijanjikan setelah tugas tersebut diselesaikan.

“Sepanjang membuat ‘kerja sambilan’ itu, mangsa telah membuat 23 kali transaksi pembayaran membabitkan RM527,130 ke 16 akaun bank berbeza seperti diarahkan dan menyedari dirinya tertipu apabila gagal mendapatkan komisen seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Alexson berkata sebanyak 49 kertas siasatan kes dengan modus operandi sama dibuka tahun ini melibatkan kerugian berjumlah RM2.26 juta.

‘Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada terhadap tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan, segera membuat semakan dengan pihak berkuasa jika tawaran itu meragukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.