Banjir di Selangor: Cuti pegawai, ketua jabatan beku hingga 15 Dis

Banjir di Selangor: Cuti pegawai, ketua jabatan beku hingga 15 Dis

Exco Selangor Najwan Halimi berkata ia untuk memantau situasi banjir berterusan dan memastikan proses penyelarasan pengurusan bencana berjalan lancar.

Setakat 2 petang ini, jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 4,462 orang daripada 1,229 keluarga di 33 pusat pemindahan sementara di lima daerah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor membekukan cuti pegawai, khasnya ketua jabatan berkaitan sehingga 15 Dis ini untuk memantau situasi banjir berterusan dan memastikan proses penyelarasan pengurusan bencana berjalan lancar.

“Kalau tak ada apa yang membabitkan bencana, mereka mungkin boleh cuti balik, tetapi buat sementara ini, kita bekukan dulu cuti hujung tahun kepada pegawai kita,” kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi menurut Berita Harian.

Ketika ini, beliau berkata, kerajaan negeri melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan beberapa exco ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menyantuni mangsa banjir.

Dalam perkembangan sama, Najwan berkata, Team Selangor dan Pasukan Sukarelawan Selangor (Serve) diaktifkan bagi melaksanakan kerja pembersihan, dengan tumpuan kepada fasiliti dan kemudahan awam seperti masjid, surau serta dewan orang ramai.

“Untuk rumah penduduk, kita perlu mengambil kira-kira pelbagai faktor kadang-kadang penduduk tidak selesa dengan pembabitan sukarelawan luar, jadi kita tumpukan peranan dan fungsi mereka kepada pembersihan kemudahan awam.”

Setakat 2 petang ini, jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 4,462 orang daripada 1,229 keluarga di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kuala Selangor mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 3,049 orang di 14 PPS, diikuti Sepang (936 orang di 9 PPS), Sabak Bernam (187 orang di 3 PPS), Kuala Langat (138 orang di 6 PPS) dan Klang (152 orang di 1 PPS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.