SPR jangka keputusan penuh PRN Sabah tengah malam

SPR jangka keputusan penuh PRN Sabah tengah malam

Dengan ribut petir diramalkan melanda seluruh Sabah esok, ia boleh menjejaskan penghantaran peti undi ke pusat penjumlahan undi.

Persiapan SPR Kotak Undi
Pegawai SPR membuat persiapan terakhir sebelum 1,760,417 pengundi biasa keluar mengundi sempena PRN Sabah ke-17 esok.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan penuh PRN Sabah ke-17 esok hanya akan diumumkan pada tengah malam, bergantung kepada keadaan cuaca.

Dengan ribut petir diramalkan melanda seluruh Sabah esok, Pengerusi SPR, Ramlan Harun, berkata keadaan itu boleh menjejaskan penghantaran peti undi ke pusat penjumlahan undi, sekali gus melambatkan proses pengiraan.

Katanya, SPR akan menggunakan helikopter, bot dan pacuan empat roda untuk membawa peti undi dari kawasan pedalaman serta pulau di sekitar Sabah ke pusat penjumlahan undi.

“Kita menjangkakan dalam sekitar 10 malam mungkin ada keputusan pertama boleh keluar, insya Allah.

“Kita tak dapat menjangkakan tempoh yang sesuai dalam keadaan cuaca ini. Tapi kita cuba boleh selesaikan pada tengah malam. Dalam sekitar 12 malam kita boleh dapat satu keputusan,” katanya menurut Sinar Harian.

Ramlan turut menjangkakan ramalan hujan esok akan menjejaskan peratusan keluar mengundi, dengan SPR menyasarkan lebih 60% pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

PRN Sabah 2020 mencatatkan peratusan keluar mengundi 66.61%, sebelum pendaftaran automatik pengundi dilaksanakan.

Esok, seramai 1,760,417 pengundi biasa akan keluar mengundi bagi PRN Sabah ke-17.

Pengundian awal bagi anggota tentera, polis dan pasangan mereka berlangsung Selasa lalu, dengan peratusan keluar mengundi 92.5%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.