Penunggang motosikal korban pertama tempias Senyar

Penunggang motosikal korban pertama tempias Senyar

Ketua Pengarah JBPM Nor Hisham Mohamad berkata mangsa melanggar pokok tumbang di Jalan Selandar menghala Machap di Melaka pada 6.57 pagi tadi.

Ketua Pengarah JBPM Nor Hisham Mohamad berkata kematian penunggang motosikal itu bukan disebabkan Ribut Tropika Senyar secara langsung, tetapi merupakan kejadian lanjutan akibat tempias ribut berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penunggang motosikal menjadi korban pertama tempias Ribut Tropika Senyar yang melanda beberapa negeri sejak tengah malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Nor Hisham Mohamad, berkata mangsa meninggal dunia selepas melanggar pokok tumbang di Jalan Selandar menghala Machap di Melaka pada 6.57 pagi tadi.

“Kes kematian ini bukan secara langsung disebabkan Senyar, namun merupakan kejadian lanjutan akibat tempias ribut tersebut,” katanya menurut Sinar Harian selepas Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat JBPM di sebuah hotel di Melaka.

Berdasarkan statistik dari malam tadi hingga 8 pagi ini, beliau berkata, 49 kes pokok tumbang direkodkan di Perak, Selangor, Putrajaya, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kuala Lumpur juga berada dalam jajaran ribut ini, namun setakat ini, tiada laporan pokok tumbang diterima.”

Katanya, kejadian tanah runtuh, runtuhan struktur dan banjir turut dilaporkan di Negeri Sembilan yang merekodkan impak paling teruk dengan 33 kes pokok tumbang, masing-masing satu kejadian tanah runtuh, runtuhan struktur serta dua lokasi banjir.

“Negeri lain dalam keadaan stabil, namun pemantauan rapi diteruskan

“Sehingga 2 pagi tadi, saya masih memantau situasi Senyar melalui bilik kawalan bagi memastikan tindak balas jabatan berada di tahap terbaik.”

Jelasnya, faktor tanah lembut akibat hujan menyebabkan risiko pokok tumbang dan tanah runtuh kekal tinggi, walaipun kelajuan angin berkurangan daripada taufan kepada ribut.

Beliau berkata, negeri yang dijangka menerima impak Senyar diarahkan bersiap siaga sepenuhnya, termasuk memastikan semua kenderaan operasi tidak digunakan untuk tujuan selain tugas operasi supaya sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

Katanya, fokus utama JBPM ketika ini ialah memastikan semua laluan terjejas dapat digunakan semula dengan segera dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.

“Saya juga ingin menasihati orang awam, memandangkan hari ini sudah memasuki hujung minggu dan cuti sekolah supaya tidak mengunjungi kawasan berisiko seperti lokasi banyak pokok besar atau kawasan rekreasi berhampiran cerun.

“Kita sudah ingatkan supaya elak mandi-manda pada musim ini, tetapi masih ada yang berbuat demikian. Jadi saya harap semua pihak mengambil langkah keselamatan dan tidak mengambil risiko tidak perlu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.