AGC tunggu siasatan polis sebelum ambil tindakan susulan kes kematian Syamsul

AGC tunggu siasatan polis sebelum ambil tindakan susulan kes kematian Syamsul

Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata polis sedang melakukan siasatan bagi menyempurnakan beberapa arahan yang telah dikemukakannya.

Syamsul Haris Shamsudin
Bedah siasat kedua mendapati kecederaan leher traumatik mendorong kematian Syamsul Haris Shamsudin dan kecederaan berlaku semasa mangsa hidup. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebarang tindakan undang-undang susulan terhadap kes kematian Syamsul Haris Shamsudin akan dibuat selepas siasatan polis, kata Jabatan Peguam Negara (AGC).

AGC dalam kenyataan berkata polis sedang melakukan siasatan bagi menyempurnakan beberapa arahan yang telah dikemukakannya.

“Laporan siasatan akan dirujuk dalam masa terdekat sebelum tindakan susulan diambil,” katanya

Agensi itu mengulas laporan FMT berhubung gesan keluarga Syamsul supaya AGC mengambil tindakan serta-merta selepas laporan bedah siasat kedua mengesahkan kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu adalah akibat kecederaan leher traumatik.

Peguam keluarganya Naran Singh berkata tiada keperluan untuk mengadakan inkues kerana punca kematian pelajar itu telah pun diketahui.

Katanya, keputusan bedah siasat kedua yang dibuat pada 29 Ogos lepas mendapati kecederaan leher traumatik mendorong kematian Syamsul dan kecederaan ini berlaku semasa mangsa hidup.

Pada 26 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan jenazah Syamsul digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua susulan usul yang difailkan ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun.

Mahkamah turut mengarahkan laporan bedah siasat tersebut disiapkan dalam tempoh yang munasabah dan salinannya diserahkan kepada peguam keluarga.

Ummu memfailkan usul itu pada 14 Ogos dengan menamakan Ketua Polis Negara Khalid Ismail dan Peguam Negara Dusuki Mokhtar sebagai responden.

Syamsul, 22, anak sulung daripada tiga beradik, meninggal dunia pada 28 Julai dalam keadaan yang tidak jelas ketika menjalani latihan Palapes di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) Ulu Tiram, Johor.

Menurut laporan awal, Syamsul dikatakan mengalami sawan sebelum meninggal dunia. Bagaimanapun, Ummu mendakwa, terdapat kesan lebam dan kecederaan pada tubuh anaknya yang konsisten dengan serangan fizikal, bukannya sawan.

Pada 13 Ogos, Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pihak berkuasa tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa kadet itu didera secara fizikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.