AGC tolak permohonan keluarga dapatkan laporan bedah siasat pertama Syamsul

AGC tolak permohonan keluarga dapatkan laporan bedah siasat pertama Syamsul

Peguam keluarga tegaskan laporan itu dokumen awam mengikut Seksyen 74 Akta Keterangan.

Syamsul Haris Shamsudin
Penuntut UTM Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia pada 28 Julai lepas dalam keadaan yang tidak jelas ketika menjalani latihan Palapes di Ulu Tiram, Johor. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan keluarga kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Shamsudin untuk mendapatkan laporan bedah siasat pertamanya.

Peguam keluarga Syamsul, Naran Singh membangkitkan perkara tersebut semasa prosiding di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Bhupindar Singh hari ini, dan menyuarakan rasa bingung atas penolakan itu.

Beliau memaklumkan mahkamah, pegawai penyiasat tiada halangan menyerahkan laporan itu, namun mengarahkannya mendapatkan kebenaran daripada peguam negara terlebih dahulu.

“Saya benar-benar tidak faham mengapa peguam negara enggan serahkan laporan itu. Peruntukan undang-undang sangat jelas bahawa ia dokumen awam mengikut Seksyen 74 Akta Keterangan.

“Sepatutnya tiada masalah untuk serahkan laporan tersebut,” katanya.

Naran turut memaklumkan mahkamah, laporan bedah siasat kedua sudah siap dan beliau akan menuntutnya daripada Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur esok.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata, beliau belum menerima sebarang arahan untuk menyerahkan laporan pertama memandangkan kematian tersebut masih disiasat.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara masih menunggu dapatan bedah siasat kedua.

“Sebaik sahaja kami terima kertas siasatan, serta laporan bedah siasat pertama dan kedua, kami akan membuat keputusan (mengenai permohonan keluarga),” katanya kepada mahkamah.

Bhupindar menetapkan 5 Dis depan bagi pihak pendakwaan memberikan kemas kini kepada mahkamah serta memutuskan sama ada perlu memerintahkan AGC menyerahkan laporan bedah siasat pertama itu.

Pada 26 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan jenazah Syamsul digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua susulan usul yang difailkan ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.

Mahkamah turut mengarahkan laporan bedah siasat tersebut disiapkan dalam tempoh yang munasabah dan salinannya diserahkan kepada peguam keluarga.

Ummu memfailkan usul itu pada 14 Ogos dengan menamakan Ketua Polis Negara Khalid Ismail dan Peguam Negara Dusuki Mokhtar sebagai responden.

Syamsul, 22, anak sulung daripada tiga beradik, meninggal dunia pada 28 Julai dalam keadaan yang tidak jelas ketika menjalani latihan Palapes di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) Ulu Tiram, Johor.

Latihannya bermula pada 26 Julai dan dijadualkan tamat pada 3 Ogos.

Menurut laporan awal, Syamsul dikatakan mengalami sawan sebelum meninggal dunia. Bagaimanapun, Ummu mendakwa, terdapat kesan lebam dan kecederaan pada tubuh anaknya yang konsisten dengan serangan fizikal, bukannya sawan.

Pada 13 Ogos, Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, pihak berkuasa tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa kadet itu didera secara fizikal.

Dapatan awal bedah siasat juga tidak menunjukkan kecederaan akibat dera, walaupun laporan penuh dijangka hanya akan siap dalam tempoh dua bulan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.