
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata setakat 3 petang semalam tiga fasiliti kesihatan di Perlis tidak beroperasi akibat banjir.
“Manakala 19 daripadanya terpaksa ditutup dan memindahkan operasi manakala 27 lagi masih beroperasi dengan pelarasan,” katanya di Facebook.
Berikutan itu katanya, kementerian telah menggerakkan sebanyak 345 pasukan perubatan dan kesihatan ke seluruh negeri yang terjejas banjir dan seramai 2,083 mangsa telah mendapat rawatan setakat ini.
Menurutnya, mangsa yang diberi rawatan terdiri daripada 376 kes jangkitan saluran pernafasan, jangkitan kulit (92 kes), gastroenteritis akut atau cirit-birit (15 kes) dan konjuktivitis atau sakit mata (4 kes).
Bagaimanapun katanya, tiada wabak dikesan di mana-mana pusat pemindahan sementara (PPS) selain dua kematian berkaitan banjir dilaporkan di Kelantan.
Setakat pagi tadi, Perlis paling teruk terjejas dengan 7,592 mangsa ditempatkan di PPS..
Ini diikuti Perak (6,811), Kelantan (6,336), Kedah (4,543), Terengganu (3,741), Selangor (2,719) dan Pahang (459).