Putrajaya akan ‘segera’ laksana tuntutan 40% hasil Sabah, kata PM

Putrajaya akan ‘segera’ laksana tuntutan 40% hasil Sabah, kata PM

Anwar Ibrahim berkata beliau berulang kali menyatakan pentadbirannya akan menghormati tuntutan 40% hasil Sabah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam temu rapat di Dewan Kebudayaan Bajau Samah.
TUARAN:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan persekutuan komited menunaikan ‘segera’ tuntutan 40% hasil Sabah.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, beliau sendiri menyatakan pentadbirannya akan menghormati tuntutan itu ketika penjelasan di Parlimen dan perbincangan dalam Kabinet.

Katanya, isu itu bukan sekadar slogan politik seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya kerajaan pimpinannya adalah yang pertama mengambil langkah konkrit untuk melaksanakannya.

“Saya sudah sebut di Jemaah Menteri dan umum di Parlimen, kerajaan persekutuan akan hormati komitmen dan akan laksanakan 40% itu segera,” katanya pada temu rapat di Dewan Kebudayaan Bajau Samah.

Turut hadir, Ketua Menteri sementara Hajiji Noor yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Anwar turut mengecam ahli politik yang menurutnya hanya ‘bising dan marah setiap hari’ mengenai 40% hasil tanpa memahami proses dan perjanjian yang perlu dirujuk sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Ini bukan RM20 juta. Ini bilion dan kita kena teliti perjanjian dan pastikan angka betul,” katanya yang mengiktiraf peranan kerajaan negeri pimpinan Hajiji dalam merealisasikan tuntutan itu menerusi kerjasama erat.

“Kalau negeri baik dengan kita, bincang baik-baik, kita selesaikan.

“Ini kerja ketua menteri (Hajiji) yang penting. Kerajaan negeri bawa kes, kita setuju,” katanya.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengesahkan hak 40% Sabah ke atas hasil persekutuan yang diperoleh di negeri itu, seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah juga memutuskan semakan pasca 2021 yang dijalankan oleh kerajaan terhadap hak negeri itu adalah tidak sah, tidak rasional, tidak mengikut prosedur dan tidak seimbang.

Jabatan Peguam Negara mengumumkan Putrajaya tidak merayu keputusan itu dan meneruskan rundingan dengan kerajaan negeri secepat mungkin yang bermula 17 Nov lalu membabitkan pegawai tertinggi kedua-dua pihak.

Katanya, rayuan hanya membabitkan beberapa kekhilafan dalam alasan penghakiman oleh hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.

Serah kuasa elektrik

Anwar turut membidas kritikan mendakwa kerajaan persekutuan tidak serius menunaikan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang disifatkannya tidak berasas.

Beliau menegaskan banyak kemajuan dicapai dalam menunaikan tanggungjawab itu termasuk menyerahkan semula kuasa elektrik kepada Sabah yang tidak dilakukan kerajaan terdahulu.

Katanya, keputusan memulangkan Sabah Electricity kepada kerajaan negeri dibuat selepas rundingan jelas antara kedua-dua pihak, sebelum diluluskan melalui pindaan undang-undang di Parlimen.

“Ini kali pertama Sabah minta kuasa elektrik dipulangkan, dan kita setuju. SEB kini kembali kepada Sabah, bukan lagi kuasa persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Putrajaya turut meluluskan tambahan RM1.2 bilion bagi membantu Sabah menyelesaikan masalah elektrik yang tertangguh sejak puluhan tahun, termasuk kawasan masih tidak mempunyai bekalan stabil.

Anwar juga mengingatkan pengundi menilai pemimpin berdasarkan rekod pentadbiran, bukan retorik perpecahan atau permainan sentimen.

“Politik bukan marah setiap hari dan kata orang lain semua tak betul. Kita jaga rakyat semua – Kadazan, Murut, Bugis, Cina, Muslim, Kristian itu tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.