Menteri nafi dakwaan serahan bantuan banjir dihalang

Menteri nafi dakwaan serahan bantuan banjir dihalang

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata kerajaan amat menghargai sebarang sumbangan atau bantuan yang ditawarkan.

Nancy Shukri
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri menjelaskan kepentingan mengikuti prosedur yang ditetapkan semasa menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri hari ini menolak dakwaan bahawa penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) telah dihalang.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan amat menghargai sebarang sumbangan atau bantuan yang diberikan, sama ada dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan, makanan atau tenaga kerja.

“Berhubung dakwaan bahawa usaha pihak tertentu untuk menyampaikan bantuan sengaja dihalang, disukarkan, atau diganggu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak benar.

“Saya percaya persepsi ini timbul daripada salah faham,” katanya ketika sesi soal jawab menteri.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading), yang meminta kementeriannya menjelaskan dakwaan bahawa terdapat pihak yang ingin memberikan bantuan makanan kepada mangsa banjir tetapi dihalang oleh mereka yang menguruskan PPS.

Beliau turut bertanya mengenai langkah yang diambil bagi memastikan bantuan dapat sampai kepada mangsa.

Nancy berkata semua bentuk sumbangan yang diterima mesti diselaraskan di peringkat sekretariat sebelum diagihkan ke kawasan terjejas banjir.

“Prosedur ini memastikan bantuan menepati keperluan di lapangan dan jumlahnya mencukupi,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, ada pihak yang datang ingin menyalurkan bantuan tetapi membawa kira-kira 200 unit sahaja, sedangkan jumlah mangsa di PPS melebihi 300 orang.

“Kita hanya boleh agihkan kepada lebih 200 orang itu, tetapi bagaimana pula dengan selebihnya? Sebab itulah SOP perlu dipatuhi.

“Ia membantu mengelakkan lebihan bekalan, pembaziran sumber, tekanan tidak perlu ke atas tenaga kerja, serta kerosakan atau pertindihan bantuan. Penyelarasan ini juga membantu mengekalkan keharmonian dalam kalangan mangsa di PPS,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai serta pihak yang ingin menyumbang atau memberi bantuan supaya mematuhi prosedur yang ditetapkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), yang mewajibkan mereka menghubungi pusat kawalan operasi bencana negeri atau daerah yang berkaitan.

Terdahulu, Nancy memaklumkan bahawa setakat 8 pagi hari ini, sebanyak 35 daerah di tujuh negeri – Kelantan, Perlis, Terengganu, Perak, Kedah, Selangor dan Pahang – terjejas akibat banjir, dengan 29,400 orang daripada 1,193 keluarga berada di 216 PPS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.