
Beliau yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata kementeriannya, Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memandang serius isu pemalsuan akaun.
“Ini melibatkan penggunaan identiti palsu, perjanjian sewa palsu serta akaun keldai yang kemudiannya disalahgunakan bagi tujuan mencuri elektrik. Perkara ini boleh menjejaskan keselamatan sistem, integriti perkhidmatan serta keyakinan pengguna.
“Selain itu, pemilik identiti atau akaun yang sah juga berpotensi terdedah kepada risiko untuk menanggung hutang yang bukan kepunyaan mereka,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kementerian menyatakan langkah segera TNB dan pihak berkuasa bagi mengekang pembukaan akaun tanpa pengetahuan pemilik oleh orang dalam untuk tujuan kecurian elektrik.
Lim juga meminta kementerian memberi jaminan pemilik tidak dipertanggungjawabkan atas bil atau hutang yang terhasil dalam kes pemilik akaun tidak sah.
Dalam pada itu, Fadillah berkata TNB akan terus memperkukuh mekanisme keselamatan identiti demi melindungi pengguna, mencegah kecurian elektrik, dan mengekalkan integriti sistem bekalan elektrik negara.
Katanya, dengan kaedah eKYC bukan hanya mengurangkan risiko penipuan identiti, malah meningkatkan keyakinan pengguna serta memastikan pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Buat masa ini kaedah eKYC masih dalam peringkat awal dan baru dilaksanakan di Kuala Lumpur Barat.
“Penggunaan eKYC akan diperluaskan secara berperingkat mulai tahun ini bagi semua permohonan individu melalui portal myTNB,” katanya.
Menurut Fadillah, kaedah menggunakan eKYC adalah pengguna perlu mengimbas dokumen pengenalan (MyKad atau pasport dan memadamkannya dengan visual diri (swafoto) bagi pengesahan wajah.
Manakala melalui pelaksanaan tindakan pengesahan biometrik yang telah bermula pada Julai 2023 lalu adalah pengguna perlu menggunakan cap jari dan MyKad.
“Data disemak terus melalui peranti biometrik TNB. Kaedah ini adalah selamat, menepati standard industri dan telah diguna pakai secara meluas dalam sektor kerajaan, perbankan dan telekomunikasi,” katanya.