
Bercakap kepada FMT, calon Barisan Nasional (BN) itu berkata ramai hanya menumpukan kepada angka majoriti kemenangannya, tetapi tidak melihat konteks sebenar keputusan lalu.
“Pada 2020 itu kali pertama saya bertanding di Karambunai. Orang hanya lihat majoriti 16 undi, tetapi mereka tidak lihat bagaimana saya berjaya menghapuskan majoriti lebih 5,000 undi yang dimiliki parti lawan sebelum itu.
“Itu sebenarnya pencapaian besar yang selalu orang terlepas pandang,” katanya ditemui selepas siri kempen di sekitar DUN Karambunai.
Yakub akan berdepan saingan 11 penjuru dalam misi mempertahankan kerusi terbabit.
Selain Aliakbar dari Perikatan Nasional (PN), beliau turut dicabar Mohd Yunus Ibrahim (PBK), Matkri Kassim (PKS), Azman Fathil (GAS), Arshad Idris (GRS), Hates Abdul (SPP), Stephen Teo (STar), Ahmad Jais Otong (Warisan), Saikam Salinggou (Perpaduan) dan Adis Jalie (PIS).
Yakub berkata beliau yakin sokongan terhadap BN semakin pulih berdasarkan respons rakyat di lapangan yang menurutnya masih mengingati era pentadbiran Najib Razak.
“Saya tanya dalam ceramah, rindu tidak dengan Datuk Seri Najib? Ramai kata rindu, dan bila saya tanya apa yang paling dirindu, mereka jawab Bantuan Rakyat 1malaysia (BR1M).
“Saya lihat kali ini rakyat Sabah akan kembali beri kepercayaan kepada BN untuk membentuk kerajaan,” katanya.