Tiong nafi langgar arahan GPS jangan terlibat PRN Sabah

Tiong nafi langgar arahan GPS jangan terlibat PRN Sabah

Presiden PDP itu berkata beliau hanya berada di Tawau untuk menjalankan tugas sebagai menteri pelancongan, seni dan budaya.

Presiden PDP Tiong King Sing ketika berucap dalam satu majlis di Kampung Merotai Iban di Tawau, Sabah, baru-baru ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing menafikan beliau melanggar arahan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang melarang pemimpin dan ahli parti gabungan itu terlibat dalam kempen pilihan raya Sabah.

Tiong berkata beliau berada di Tawau semata-mata untuk menjalankan tugasnya sebagai menteri pelancongan, seni dan budaya, selepas menerima jemputan daripada NGO untuk menghadiri acara pelancongan di kawasan itu.

Beliau juga mendakwa pengkritik memutarbelitkan kehadirannya di sana bagi menggambarkan seolah-olah beliau melanggar pendirian GPS berkait PRN Sabah.

“Sebagai menteri, apabila saya dijemput (ke satu acara), menjadi tanggungjawab saya untuk menjalankan tugas (dan menghadirinya).

“(Pengkritik) Pusing habis-habisan apa yang saya lakukan, kata saya langgar keputusan GPS. Saya ingin jelaskan bahawa saya hanya menjalankan tugas sebagai menteri pelancongan. Saya harap cukuplah, jangan pusing lagi,” katanya dalam satu video di Facebook yang dimuat naik awal pagi tadi.

Bagaimanapun, ini bercanggah dengan hantaran Facebook Tiong tiga hari lalu, di mana beliau berkongsi mengenai lawatannya ke sebuah kampung di Tawau untuk berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH) di Merotai, Ruji Ubi.

“Saya mendapat penghormatan untuk melawat Kampung Merotai Iban bagi menunjukkan sokongan kepada Ruji Ubi, calon kita dari PH… Dengan sokongan yang tepat, kampung ini boleh berkembang menjadi destinasi pelancongan menarik yang membolehkan pengunjung merasai identiti, kisah dan ketahanan masyarakat Iban.

“Ruji berada pada kedudukan terbaik untuk membantu merealisasikan visi ini,” katanya dalam hantaran itu.

Naib pengerusi GPS itu turut memuat naik beberapa gambarnya berkempen dan menyampaikan ucapan, dengan bendera PH menghiasi rostrum.

Perkembangan ini muncul beberapa hari selepas Timbalan Presiden PDP, Henry Harry Jinep, berkata GPS tidak terlibat dalam pilihan raya Sabah dan mana-mana ahli yang didapati berkempen akan berdepan tindakan disiplin.

Ia susulan tularnya sebuah video seorang ahli PDP di Marudi yang didakwa membantu kempen di Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.