
Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan merujuk isu surat sokongan Shamsul untuk kontraktor yang terlibat dalam sebuah projek hospital serta dakwaan beliau menerima lebih RM600,000 daripada ahli perniagaan kontroversi Albert Tei, yang menjadi tumpuan dalam skandal perlombongan Sabah.
“Ahli Parlimen PN mendesak SPRM supaya segera menjalankan siasatan tanpa berlengah, menyeluruh dan bebas bagi menentusahkan dakwaan yang dibuat kerana ia melibatkan seorang pegawai kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Jika tidak ia akan memberi kesan dan implikasi besar yang berpotensi menggagalkan semua inisiatif serta janji kerajaan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga menggesa semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya, supaya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.
“Sebarang salah laku oleh mana-mana pihak hendaklah diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih,” kata setiausaha agung PAS itu.
Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu dikritik susulan tindakannya menulis surat sokongan untuk sebuah projek hospital, tindakan yang turut menyebabkan beliau ditegur oleh Anwar kerana peraturan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran surat seperti itu.
Berikutan pengumuman perletakan jawatannya, Malaysiakini memetik dakwaan Tei bahawa beliau membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul, termasuk kerja-kerja pengubahsuaian bagi hartanah yang dikaitkan dengan pemimpin PKR itu, serta cerut premium dan sut tempahan khas.
Tei didakwa di mahkamah pada Jun atas dua pertuduhan memberi rasuah kepada Adun berkaitan skandal perlombongan Sabah.
Bekas Adun Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy, dan bekas Adun Sindumin, Dr Yusof Yacob, dituduh menerima rasuah masing-masing sebanyak RM150,000 dan RM200,000.