
Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, berkata Aliakbar sepatutnya mengambil keputusan berprinsip dengan melepaskan jawatan diberikan kepadanya pada 2020 selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mula menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Adun Johor itu turut berkata, PAS bersikap ‘hipokrit’ kerana berdiam diri mengenai kedudukan Aliakbar, sedangkan mereka mengkritik pemimpin GRS yang keluar daripada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) selepas PRU15 pada 2022.
“Tetapi kamu tidak berprinsip. Kamu pentingkan jawatan Adun dilantik. Padahal kamu bukannya dipilih rakyat.
“Hajiji (Noor) yang Muhyiddin (Yassin) tuduh sebagai pengkhianat PN lantik kamu.
“Semua tujuh Ahli Parlimen Bersatu yang sokong PMX dipecat dan didesak kosongkan kerusi. Sepatutnya PAS sebagai ahli PN buat perkara sama terhadap Aliakbar,” kata Puad di Facebook.
Hajiji mengetuai gerakan keluar beramai-ramai pemimpin Bersatu Sabah selepas PRU15, apabila mereka menyatakan sokongan kepada Anwar dan mengambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah.
Aliakbar kekal sebagai Adun dilantik, jawatan diberikan oleh kerajaan Sabah, walaupun selepas GRS membawa Pakatan Harapan masuk dalam pentadbiran negeri.