Wanita rugi RM94,000 diperdaya sindiket kerja sambilan

Wanita rugi RM94,000 diperdaya sindiket kerja sambilan

Mangsa berusia 44 tahun terima pesanan menerusi WhatsApp daripada individu tidak dikenali menawarkan kerja sambilan untuk menjana pendapatan sampingan.

scammer hold phone woman
Mangsa dimasukkan ke satu kumpulan Telegram untuk diberi penerangan mengenai kerja dan dijanjikan komisen 20% daripada modal dikeluarkan untuk setiap tugasan.
KUALA TERENGGANU:
Seorang kerani wanita kerugian sebanyak RM94,569 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud melalui aplikasi sosial.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata pada 13 Nov lalu mangsa yang berusia 44 tahun menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang menawarkan kerja sambilan untuk menjana pendapatan sampingan.

Beliau berkata, mangsa kemudian dimasukkan ke satu kumpulan aplikasi Telegram untuk diberi penerangan mengenai kerja terbabit dan dijanjikan komisen sebanyak 20% daripada modal yang dikeluarkan untuk setiap tugasan.

“Mangsa yang berasal dari Kampung Gelugor Raja diminta membuat tugasan membeli barangan kononnya untuk menaikkan rating syarikat.

“Mangsa yang teruja dengan komisen agak tinggi telah membuat pembayaran bagi pembelian barang sebanyak RM94,569 ke tujuh akaun bank berlainan menggunakan wang simpanan,” katanya dalam kenyataan.

Azli berkata mangsa yang bekerja di syarikat swasta menyedari ditipu apabila gagal mendapatkan kembali wang modal dan komisen seperti dijanjikan.

Katanya, suspek turut mengarahkan mangsa supaya membuat bayaran tambahan sebanyak RM50,000 bagi mendapat semula wang yang dilaburkan.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 4.49 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.