
Ketua Polis Padang Besar, Shokri Abdullah, berkata mereka terdiri daripada 300 rakyat Malaysia yang pulang dari Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian dan selebihnya penduduk setempat.
Shokri berkata mereka kini ditempatkan di Masjid Nurul Husna, Wang Kelian.
“Keadaan mereka selamat di masjid ini sebab kawasan situ agak tinggi. Pihak polis bersama agensi lain seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kerja Raya berada di sana bagi membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.
Shokri berkata setakat malam tadi laluan di jalan berkenaan masih belum dibuka kerana bimbang berlaku pergerakan tanah memandangkan keadaan masih hujan.