Kunak bakal miliki bandar baharu, kata calon GRS

Kunak bakal miliki bandar baharu, kata calon GRS

Norazlinah Arif berkata bandar baharu yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi itu buka peluang pekerjaan kepada golongan belia di Kunak.

ADUN Kunak Norazlinah Arif
Norazlinah Arif juga menepis stigma negatif terhadap wanita yang sering dianggap sebagai cengeng, emosional dan cerewet.
LAHAD DATU:
Menggunakan slogan ‘Kunak Mesti Maju’, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Kunak, Norazlinah Arif berkata kawasan itu bakal memiliki bandar baharu yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau yang juga penyandang DUN itu berkata majlis pecah tanah bagi pembinaan bandar baharu itu telah dibuat, sekali gus mampu membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia di Kunak.

“Di bawah kerajaan Sabah, Sawit Kinabalu membuka sebuah kilang, iaitu Kunak Lipids Sdn Bhd yang mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada anak-anak Kunak,” katanya ketika ditemui pada program ceramah mega di Dewan Kampung Pangi, Mini Estet Sejahtera (MESEJ).

Norazlinah, 48, berkata kerajaan pimpinan GRS berjaya membuka ruang ekonomi kepada rakyat di Kunak apabila banyak pasar raya dibina ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Beliau berkata manifesto GRS memfokuskan untuk meneruskan apa sahaja pelan pembangunan kerajaan negeri yang rancangkan sebelum ini.

Sementara itu, beliau menepis stigma negatif terhadap wanita yang sering dianggap sebagai cengeng, emosional dan cerewet.

“Wanita tidak cengeng cuma sangat empati, wanita tidak emosi tetapi kami sangat bersemangat, wanita tidak cerewet tetapi kami sangat teliti,” katanya.

Norazlinah berkata ia dapat dilihat apabila rakyat Kunak memberi ruang dan mempercayai kepimpinan wanita, sekali gus berjaya mengangkat dan menggalas tanggungjawab sebaiknya seperti yang dibuat oleh kaum lelaki.

Beliau berkata kualiti yang dimiliki oleh wanita itu sebenarnya boleh melahirkan pemimpin yang baik dan turut yakin Sabah mampu melahirkan banyak pemimpin wanita.

Terletak kira-kira 500km dari Kota Kinabalu, DUN Kunak yang mempunyai 24,854 pemilih berdaftar pada PRN ke-17 ini adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Lahad Datu selain Tungku, Segama dan Silam.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian dan 25 Nov bagi pengundian awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.