KPT lulus 21 projek bernilai RM1 bilion untuk institusi pendidikan di Sabah

KPT lulus 21 projek bernilai RM1 bilion untuk institusi pendidikan di Sabah

Menterinya Zambry Abdul Kadir kata ia libat tambah baik kemudahan UMS, UiTM, politeknik dan kolej komuniti, termasuk bina asrama di kawasan luar bandar.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata peruntukan besar itu menunjukkan komitmen kerajaan terhadap usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi di Sabah.
KOTA KINABALU:
Kementerian Pendidikan Tinggi meluluskan 21 projek pembangunan di Sabah dengan nilai keseluruhan RM1.014 bilion untuk dilaksanakan mulai tahun depan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata menterinya Zambry Abdul Kadir.

Berucap pada majlis makan malam bersama media sempena PRN Sabah, Zambry berkata peruntukan besar itu menunjukkan komitmen kerajaan terhadap usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi di negeri berkenaan.

Katanya, projek tersebut melibatkan naik taraf kemudahan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), UiTM kampus cawangan Sabah, politeknik dan kolej komuniti.

Menurut Zambry, tumpuan khusus turut diberikan kepada kolej komuniti yang memainkan peranan penting terutama di kawasan pedalaman.

Beliau berkata keperluan pelajar di Sabah berbeza berbanding negeri lain dan dasar sedia ada perlu disesuaikan mengikut realiti setempat.

“Dasar kolej komuniti memang tidak menyediakan asrama. Tetapi bila saya datang ke Sabah dan Sarawak, keperluannya sangat jelas,” katanya.

Zambry memberi contoh lawatannya ke Kolej Komuniti Tambunan dan Beaufort, di mana ramai pelajar perlu menempuh perjalanan jauh setiap hari untuk mengikuti pengajian.

Beliau berkata kerajaan akan mempertimbangkan penyediaan asrama bagi kolej komuniti di kawasan pedalaman untuk memastikan lebih ramai anak muda tidak tercicir daripada pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Tambahnya, pembinaan asrama itu akan membantu melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi, sejajar aspirasi kerajaan meningkatkan penyertaan Sabah dalam bidang TVET.

“Kita mahu lahirkan pelajar yang mempunyai bakat, TVET biasa dan TVET tahap tinggi, sama ada di peringkat diploma atau ijazah,” katanya.

Zambry turut mengakui kekangan jarak dan kos menjadi cabaran utama pelajar luar bandar di Sabah, menjadikan keperluan asrama antara isu paling mendesak.

Beliau menegaskan kementeriannya akan beri perhatian terus kepada projek-projek di Sabah bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual dan memberi manfaat secara langsung kepada pelajar serta komuniti setempat.

“Ini antara perkara yang kita buat di peringkat kementerian pendidikan tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.