
Pengerusi BN menegaskan, jentera gabungan kekal bersemangat dan tidak terjejas walaupun menjadi sasaran pelbagai dakwaan sepanjang minggu pertama kempen untuk melemahkan moral jentera BN di lapangan.
“Ya, ini memang berlaku. Tetapi kita tidak akan pernah lemah semangat dengan apa saja serangan, fitnah sama ada secara fizikal ataupun spiritual,” katanya.
Zahid berkata demikian selepas melancarkan manifesto BN sempena PRN Sabah, ketika ditanya mengenai ‘peluru-peluru politik’ yang didakwa sengaja ditujukan kepada Umno dan Bung.
Katanya, sokongan semakin meningkat dan menjadi pendorong utama untuk calon BN terus berkempen secara agresif sehingga hari pengundian
Minggu pertama kempen menyaksikan Bung menjadi sasaran serangan peribadi daripada beberapa pemimpin lawan, termasuk dakwaan beliau gagal sebagai menteri kerja raya Sabah, selain kehadiran isteri Zizie Izette ketika kempen.
Namun, BN menegaskan strategi itu tidak berkesan kerana pengundi kini lebih fokus kepada isu pembangunan dan penyelesaian masalah harian.
Ketika ditanya mengenai tahap keyakinan BN setakat seminggu berkempen, Zahid berkata gabungan itu mahu menang semua kerusi, namun mengakui realiti politik menuntut kerja keras berterusan.
“Pihak seteru politik kita juga mempunyai senjata-senjata yang ampuh untuk menyerang kita, tetapi kita yakin gelombangnya akan ke arah biru,” katanya.
Beliau turut menegaskan BN mempunyai rekod pentadbiran yang kukuh di Sabah, sambil berkata negeri itu pernah mencapai tahap kemajuan tinggi ketika ditadbir gabungan berkenaan.
“Jika BN diberikan mandat semula, insya-Allah kita akan bersama dengan parti-parti dan gabungan lain membangunkan semula Sabah,” katanya.